Celaan awam dan denda tersebut adalah berikutan kegagalan syarikat berkenaan dan pengarahnya mematuhi Peraturan 4, Peraturan Perindustrian Sekuriti (Pematuhan dengan Piawaian Perakaunan yang Diluluskan) 1999 (Peraturan) yang melibatkan penyata kewangan GBM bagi suku tahun berakhir 31 Disember 2004.
Peraturan 4 secara prinsipnya menghendaki setiap syarikat tersenarai, pengarah dan ketua eksekutifnya memastikan bahawa penyata kewangan yang digabungkan bagi syarikat tersenarai disediakan mengikut piawaian perakaunan yang diluluskan.
Pelanggaran
GBH telah melanggar Piawaian Pelaporan Kewangan (FRS) 127, Penyata Kewangan yang Digabungkan dan Pelaburan dalam Subsidiari (sebelum ini MASB 11) yang mana ia gagal untuk menghapuskan keuntungan daripada penjualan hartanah dalam kumpulannya, mengakibatkan keuntungan terlebih nyata sebanyak RM121 juta dalam penyata kewangan GBH bagi suku tahun berakhir 31 Disember 2004.
Di bawah FRS 127, urus niaga antara kumpulan dan keuntungan yang terhasil hendaklah dihapuskan sepenuhnya.
Pertimbangan Lain
Keuntungan sebelum cukai yang salah sebanyak RM100 juta yang diumumkan oleh GBH dalam penyata suku tahun 31 Disember 2004nya pada 28 Februari 2005 telah menyebabkan pergerakan luar biasa harga saham dan urus niaga saham GBH di Bursa Malyasia Securities Berhad. SC maklum bahawa GBH telah memberikan penjelasan dan memperbaiki kesilapan dalam penyata suku tahun tersebut melalui pengumumannya pada 7 Mac 2005 yang mana kerugian sebelum cukai sebanyak RM21 juta telah dilaporkan. Namun yang demikian, SC memandang pelanggaran ini sebagai serius kerana ia membabitkan isu perakaunan yang penting.
Kesimpulan
SC mengingatkan semua syarikat tersenarai yang lain dan pengarah mereka mengenai kepentingan untuk mematuhi semua piawaian pelaporan kewangan dan keperluan penzahiran dalam memastikan penyediaan maklumat kewangan yang tepat kepada para pelabur.
SC memandang serius mana-mana ketidakpatuhan kepada Peraturan tersebut kerana standard pelaporan kewangan yang tinggi adalah penting bagi menggalakkan integriti pasaran dan mempertingkat perlindungan pelabur.
SC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas syarikat tersenarai dan pegawai-pegawainya atas kegagalan untuk mematuhi mana-mana peruntukan undang-undang sekuriti.