Kesemua 58 pertuduhan yang dikenakan terhadap Dato’ Ch’ng adalah untuk kesalahan di bawah Seksyen 188(2)
Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Dato’ Ch’ng didakwa memperoleh saham-saham MPAC sebelum mengadakan projek usaha sama bernilai berjuta-juta ringgit di antara Oriental Pearl City Properties Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh MPAC dan Amanahraya Development Sdn Bhd (ADSB), yang merupakan anak syarikat milik penuh Amanah Raya Berhad, bagi mengendalikan beberapa projek di Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara mandatori tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
Dato’ Ch’ng mohon dibicarakan bagi pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Mat Ghani bin Abdullah menetapkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang (1) penjamin dan juga memerintahkan supaya Dato’ Ch’ng menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.
SC memandang serius terhadap kesalahan dagangan orang dalam dan akan terus aktif mengambil tindakan terhadap perbuatan tersebut bagi menjaga dan mengekalkan keyakinan pelabur dalam pasaran modal.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA