SC dan Kumpulan CGC Jalin MoU untuk Meningkatkan Akses PMKS dan MTC kepada Pembiayaan Pasaran Modal

Kuala Lumpur, 11 Disember 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (Kumpulan CGC) dan CGC Digital Sdn. Bhd. untuk meningkatkan akses bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana Malaysia (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) kepada penyelesaian pembiayaan pasaran modal.

MoU tiga tahun itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju 5 Tahun SC untuk memangkin akses PMKS dan MTC kepada pasaran modal (2024-2028). Dengan bekerjasama dengan Kumpulan CGC, inisiatif ini memanfaatkan kepakaran mereka dalam jaminan pembiayaan dan rangkaiannya yang kukuh dalam sektor PMKS.

Fokus utama kerjasama termasuk:
  1. Meningkatkan akses PMKS dan MTC kepada penyelesaian pembiayaan pasaran modal melalui platform imSME CGC. Platform ini memadankan PMKS dan MTC dengan pengendali pembiayaan rakan setara (P2P). MoU itu bertujuan untuk meluaskan lagi akses ini dengan menggunakan lebih banyak pengendali P2P. Ketika ini, platform tersebut menawarkan produk daripada enam pengendali P2P.
  2. Menyokong pengurangan risiko pelaburan PMKS dan MTC dengan menyediakan jaminan kredit, dan melanjutkan jaminan kredit kepada penyelesaian pasaran modal tambahan. Sejak penubuhannya pada tahun 1972, CGC telah menyediakan jaminan dan pembiayaan bernilai lebih RM98.31 bilion, memanfaatkan lebih 538,000 PMKS.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi menekankan bahawa kerjasama itu bertujuan untuk menghubungkan PMKS dan MTC dengan penyelesaian pasaran modal khas untuk memenuhi keperluan pembiayaan mereka. “Dengan memanfaatkan jaminan kredit Kumpulan CGC, keyakinan pelabur menjadi lebih tinggi, dan ini seterusnya meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk perniagaan-perniagaan ini,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (PCEO) Kumpulan CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, “Memorandum Persefahaman ini merupakan satu milestone penting dalam memajukan akses pasaran modal untuk perniagaan Malaysia, yang mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi CGC Group untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan perniagaan Malaysia. Dengan menjalin pakatan dengan institusi yang terkenal dan bereputasi tinggi seperti Suruhanjaya Sekuriti, kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan trajektori pertumbuhan transformatif sambil menangani halangan yang dihadapi oleh perniagaan di Malaysia yang tidak mendapat dan kurang mendapat perkhidmatan (unserved and underserved).”

Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital Yushida Husin, menyatakan, “Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam meningkatkan imSME sebagai platform rujukan utama Malaysia, mengubah ekosistem pembiayaan digital dan memacu kebolehcapaian yang lebih besar untuk perniagaan di seluruh negara.”
MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi, PCEO Kumpulan CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital Sdn. Bhd Yushida Husin.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
KUMPULAN CGC
CGC DIGITAL

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup