SC dan Universiti Durham Meterai MoU untuk Memajukan Pendidikan Pasaran Modal Islam

Fokus utama diberikan pada Maqasid Al-Shariah melalui ICM Summer School

Kuala Lumpur, 8 Julai 2025

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi (kiri) dan Pro-Naib Canselor (Global) Durham University Profesor Claire O'Malley (kanan) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini untuk mengukuhkan kerjasama dalam pembinaan kapasiti, perkongsian pengetahuan, dan inisiatif bersama dalam bidang kewangan Islam dan pasaran modal Islam.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Universiti Durham baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan kerjasama dalam pembinaan kapasiti, perkongsian pengetahuan, dan inisiatif bersama dalam bidang kewangan Islam dan pasaran modal Islam (ICM).

Kursus Musim Panas Pasaran Modal Islam (ICM Summer School) yang julung kali diadakan merupakan salah satu inisiatif di bawah MoU ini dan dianjurkan bersama dengan Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam Durham, Pengajian Perniagaan Universiti Durham.

Program ICM Summer School melengkapkan ahli profesional dengan kemahiran kepimpinan strategik, pengetahuan teknikal, dan pemahaman mendalam tentang amalan Maqasid al-Shariah dalam pasaran modal Islam. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kepimpinan pemikiran global dalam inovasi kewangan Islam dan pasaran modal Islam.

Universiti Durham merupakan sebuah universiti terkemuka di UK, dan diiktiraf di peringkat global dalam bidang undang-undang, kewangan dan ekonomi. Penglibatan mereka menyumbang kepada keteguhan akademik dan perspektif antarabangsa bagi program ini.

Pengerusi SC Dato' Mohammad Faiz Azmi berkata bahawa ICM Summer School ini adalah satu titik penting dalam memupuk pemimpin berwawasan untuk masa depan kewangan Islam. Ini didorong oleh komitmen bersama untuk memajukan kapasiti dan kepimpinan pemikiran dalam industri, daripada pengamal kepada sarjana berpengalaman.

"Dengan menerapkan prinsip Maqasid al-Shariah, kami menyasarkan untuk membina pasaran modal yang beretika, mampan dan inovatif. Kerjasama dengan Universiti Durham ini melengkapkan golongan profesional ke arah mengukuhkan kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam.

"SC menyasarkan Maqasid al-Shariah menjadi faktor pembeza strategik, memacu inovasi dan kerjasama dalam kalangan badan kawal selia dan pemain industri Islam di seluruh dunia," tambahnya.

Dato' Mohammad Faiz turut menggariskan bahawa inisiatif tersebut mencerminkan komitmen yang kuat untuk memajukan nilai-nilai yang digariskan dalam Maqasid al-Shariah Islamic Capital Market Guidance yang diperkenalkan oleh SC pada tahun 2023.

Naib Canselor dan Warden Universiti Durham Profesor Karen O'Brien berkata, "Universiti Durham mempunyai sejarah lama dalam sumbangan kepada penyelidikan, pendidikan dan inovasi dalam Kewangan Islam selama 30 tahun. Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam Durham mempunyai dua pemenang ISDB atas penyelidikan mereka dalam Kewangan Islam, bersama rakan lain yang disegani.

"Sejak tahun 2006, Summer School Kewangan Islam Durham telah melatih lebih 1,500 individu daripada pelbagai latar belakang di seluruh dunia. Kerjasama ini akan terus melatih dan memberi inspirasi kepada pemimpin semasa dan masa depan dalam industri kewangan Islam, menegakkan dan mengukuhkan tradisi pemikiran, amalan dan kepimpinan."

Program Summer School ICM akan berlangsung dari 2025-2027 dengan satu kohort setiap tahun. Kohort pertama akan bermula pada S3 2025, terdiri daripada 15 peserta dalam program hibrid selama sebulan.

Program eksekutif lanjutan direka untuk profesional dan pemimpin peringkat pertengahan hingga kanan dalam industri kewangan Islam, dengan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman kerja yang berkaitan.

Setelah menyelesaikan modul intensif dalam talian, peserta akan menghadiri kelas induk lima hari di Universiti Durham. Peserta yang menamatkan program ini akan menerima pensijilan bersama daripada SC dan Universiti Durham.

Kurikulum program termasuk bidang utama iaitu Sukuk, ekuiti Islam, produk patuh Syariah, fintech, kemampanan, rangka kerja kawal selia, dan inovasi produk. Fokus utama ialah penerapan prinsip Maqasid Al-Shariah untuk menggalakkan amalan pasaran modal dan kewangan Islam yang beretika, inklusif dan mampan.

MOU itu ditandatangani antara Dato' Mohammad Faiz dan Pro-Naib Canselor (Global) Universiti Durham Profesor Claire O'Malley.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup