Dengan adanya Garis Panduan Prospektus Elektronik dan Permohonan Sekuriti Melalui Internet (“Guidelines on Electronic Prospektuses and Internet Securities Application”) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini, syarikat kini boleh menikmati kemudahan Internet sebagai satu kaedah tambahan bagi penjanaan dana yang lebih cekap.
Sebelum pengumuman garis panduan tersebut, para pelabur boleh memohon saham sama ada dengan menggunakan borang berbentuk kertas atau melalui Mesin Teler Automatik. Dengan adanya garis panduan tersebut, pelabur juga boleh mendapat akses kepada prospektus secara elektronik dan mempunyai pilihan mudah untuk memohon IPO secara dalam talian. Pelabur boleh memohon secara dalam talian bagi IPO syarikat awam, termasuk dana tertutup, dan unit bagi dana amanah hartanah, dengan syarat penganjur berkenaan menawarkannya secara elektronik.
Pihak SC juga mengeluarkan satu panduan ringkas bertajuk “Investing Online” bagi pelabur. Kedua-dua dokumen tersebut boleh didapati di laman web SC.
Pengerusi SC Datuk Ali Abdul Kadir berkata langkah ini melengkapi tempoh ke pasaran yang lebih singkat bagi Tawaran Awam Awal yang diumumkan baru-baru ini.
“Kaedah elektronik mempertingkat kecekapan penjanaan dana dan pelaburan. Peserta pasaran perlu sentiasa menilai dan mengambil kesempatan untuk menikmati kemudahan dan peluang yang ditawarkan oleh teknologi,” kata beliau.
“Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pasaran Modal, prinsip asas pengawalseliaan pasaran modal kekal tidak berubah, tanpa mengira medium operasi. Kami komited dalam menjadikan pengawalseliaan pasaran modal sentiasa neutral teknologi, dan kami akan memudahcarakan inovasi,” kata beliau.
Dengan kemudahan ini, syarikat boleh mempromosikan IPO mereka dengan menyediakan prospektus elektronik dan borang permohonan di tapak web, dan mengedarkannya secara elektronik. Namun, borang permohonan sebenar yang digunakan oleh pelabur mesti melalui “penyedia permohonan” seperti peniaga, bank dan bank saudagar, sebagaimana yang diamalkan sekarang bagi dokumen berbentuk kertas.
SC membangunkan garis panduan tersebut berpandukan cadangan-cadangan daripada kertas perundingannya yang bertajuk Rangka Kerja bagi Pelaksanaan Dagangan Elektronik dalam Pasaran Modal (“Framework for the Implementation of Electronic Commerce in the Capital Market”) dan yang terkandung dalam CMP, yang bertujuan mempertingkatkan penggunaan teknologi untuk memperbaiki kecekapan penjanaan dana.
SC telah mengkaji model yang diguna pakai oleh Australia, Hong Kong dan Singapura, dan telah mengadakan rundingan terperinci bersama peserta pasaran tempatan. Garis Panduan tersebut merupakan hasil usaha sama antara SC, institusi pasaran, rumah-rumah terbitan, institusi kewangan dan broker saham.
Datuk Ali menasihatkan pelabur untuk memahami prospektus sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan serta menentukan kesahihan tawaran yang dibuat melalui Internet, dan memastikan bahawa tawaran tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa.
Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) juga akan terus menyediakan prospektus elektronik dan borang permohonan syarikat yang memohon penyenaraian di BSKL untuk memastikan orang ramai mendapat akses kepada dokumen ini secara berterusan.
Garis Panduan tersebut menggariskan antara lain, aspek-aspek keselamatan sistem, ciri-ciri tambahan yang dibenarkan dalam prospektus elektronik, pengiklanan dan bahan promosi, akses kepada prospektus elektronik dan borang permohonan, dan pelaporan kepada SC mengenai langkah-langkah pemulihan dalam kes pencerobohan keselamatan atau kegagalan sistem.
Bagi melindungi pelabur, satu laporan bebas mengenai sistem dan kawalan mestilah dikemukakan kepada SC sebelum pengedaran prospektus eletronik dan penyediaan permohonan sekuriti melalui Internet. Garis Panduan tersebut juga menyenaraikan dokumentasi lain yang perlu dikemukakan kepada SC bagi pendaftaran prospektus kertas, prospektus versi elektronik adalah dianggap sebagai salinan.