SC, FSA Oman Sepakat Tingkatkan Pembangunan Pasaran Modal dan Pembinaan Kapasiti

Kuala Lumpur, 10 September 2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (FSA) Kesultanan Oman hari ini menandatangani Program Usahasama Pembangunan Pasaran Modal untuk memajukan perkongsian strategik antara kedua-dua pihak berkuasa.

Program Usahasama yang bertujuan menggalakkan pasaran modal yang berdaya tahan, telus dan inovatif, telah ditandatangani oleh Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi dan Presiden Eksekutif FSA TYT Abdullah Salim Al-Salmi, di Muscat.

Kerjasama dua tahun itu akan menumpu kepada inisiatif pembinaan kapasiti bersama, pertukaran pengetahuan dan usaha mempromosikan Malaysia dan Oman sebagai destinasi pelaburan menarik.

Bidang kerjasama utama termasuk:

  • Usaha bersama dalam mempromosikan secara silang pasaran (cross-market promotion) peluang pelaburan Malaysia dan Oman kepada pelabur di kedua-dua negara.
  • Menilai kebolehlaksanaan untuk mengadakan perjanjian pengiktirafan bersama antara SC dan FSA Oman untuk mempromosikan penyenaraian silang/dwi produk dan syarikat tersenarai.
  • Program pembangunan bersama termasuk peminjaman kakitangan dan program latihan lain.
  • Perkongsian pengetahuan mengenai penyelidikan pasaran modal yang diterbitkan, rangka kerja dasar dan strategi pembangunan pasaran.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, SC mengalu-alukan penyertaan pengawal selia FSA Oman dalam Program Pembangunan Pengawal Selia Muda, yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Durham, United Kingdom.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata Program Usahasama yang dimeterai hari ini menandakan satu lagi penglibatan penting SC dengan rakan sejawatnya dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC), khususnya FSA Oman.

“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk meningkatkan pertukaran pengetahuan, mempromosikan cadangan pelaburan unik setiap pasaran — akhirnya memacu pertumbuhan mampan merentas kedua-dua pasaran modal konvensional dan Islam,” katanya.

"Kami membina bersama perkongsian yang memberi manfaat kepada pasaran, pelabur dan ekonomi," tambahnya.

TYT Sheikh Abdullah bin Salem Al Salmi, Presiden Eksekutif FSA berkata, "Kerjasama dengan SC merupakan jambatan antara pasaran modal ASEAN dan GCC. Dengan pemeteraian program kerjasama ini, asas kukuh dapat dibina serta kerjasama diperluaskan dalam bidang seperti pembinaan kapasiti, kewangan mampan dan inovasi pasaran. Hasilnya adalah asas untuk pasaran kewangan yang berdaya tahan, dipercayai dan bersepadu di peringkat global yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rantau yang lebih luas."

SC juga mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan utama di Oman minggu ini untuk mempamerkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk kerjasama ekonomi dan peluang pelaburan rentas sempadan.

Pada penglibatan lain yang lebih besar dengan pelabur GCC & Oman, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato' Fad'l Mohamed, turut membentangkan dan berkongsi kekuatan utama pasaran modal Malaysia, serta peluang yang tersedia.

Perbincangan juga menekankan peranan pasaran modal Islam dalam membolehkan aliran pendanaan merentas sempadan yang lebih besar dan peluang baharu dalam bidang seperti pengurusan kekayaan pejabat keluarga.

Sehingga Jun 2025, Bursa Malaysia merekodkan 855 sekuriti patuh Syariah, iaitu 80.58% daripada jumlah sekuriti tersenarai. Ini merentasi sektor utama seperti produk dan perkhidmatan perindustrian, produk dan perkhidmatan pengguna, teknologi dan hartanah.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup