SC Gariskan Skim Insentif Pejabat Keluarga
Inisiatif dijangka menarik lebih ramai keluarga uruskan kekayaan dari Malaysia

Kuala Lumpur, 23 September 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengalu-alukan pengumuman Kerajaan mengenai skim insentif Pejabat Keluarga (Family Office) baharu, yang bertujuan untuk mempertingkatkan landskap pelaburan di Malaysia.

Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun lepas, berkenaan dasar untuk menggalakkan penubuhan pejabat keluarga di Malaysia untuk menarik lebih ramai pelabur yang akan meluaskan sokongan pembiayaan untuk PKS dan ekonomi baharu.

Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan skim insentif Pejabat Keluarga Tunggal (Single Family Office) sebagai sebahagian daripada pakej insentif Zon Kewangan Khas Forest City pada Jumaat (20 September 2024). SC telah ditugaskan untuk menyelaraskan skim insentif Pejabat Keluarga Tunggal.

Insentif ini menyediakan kadar cukai konsesi 0% ke atas pendapatan yang dijana oleh pelaburan yang layak daripada Instrumen Pejabat Keluarga Tunggal/Single Family Office Vehicle (SFOV1).
 
Forest City akan menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menawarkan insentif kadar cukai 0% untuk Pejabat Keluarga.

Insentif yang ditawarkan akan tertakluk kepada beberapa syarat. Ini termasuk:
  1. Lokasi: Menubuhkan dan mengendalikan pejabat berdaftar di Pulau 1, Zon Kewangan Khas Forest City.
  2. Tempoh: 20 tahun, meliputi tempoh awal 10 tahun dan tempoh tambahan/berikutnya 10 tahun.
  3. Untuk melayakkan diri untuk Tempoh Permulaan (10 tahun):
    1. SFOV mestilah syarikat pemegangan pelaburan baharu yang diperbadankan di Malaysia dan mendapatkan pra-pendaftaran dengan SC mengenai kelayakan insentif cukai;
    2. Syarikat pengurusan atau SFO2  yang merupakan syarikat berkaitan SFOV akan ditubuhkan dan beroperasi di luar Pulau 1, Zon Kewangan Khas Forest City dengan sekurang-kurangnya seorang profesional pelaburan dengan gaji bulanan minimum sebanyak RM10,000.
    3. Pegang AUM sekurang-kurangnya RM30 juta; memenuhi pelaburan tempatan minimum dalam pelaburan yang layak dan digalakkan sekurang-kurangnya 10% daripada aset di bawah pengurusan (AUM) atau RM10 juta, yang mana lebih rendah;
    4. SFOV membelanjakan perbelanjaan operasi (OPEX) tempatan sekurang-kurangnya RM500,000 setahun;
    5. Menggaji sekurang-kurangnya dua pekerja sepenuh masa di mana sekurang-kurangnya seorang daripadanya adalah profesional pelaburan, dengan gaji bulanan minimum sebanyak RM10,000;

  4. Untuk melayakkan diri untuk Tempoh Tambahan (tambahan 10 tahun):
    1. Pegang AUM sekurang-kurangnya RM50 juta; memenuhi pelaburan tempatan minimum dalam pelaburan yang layak dan digalakkan sekurang-kurangnya 10% daripada aset di bawah pengurusan (AUM) atau RM10 juta, yang mana lebih tinggi;
    2. SFOV membelanjakan OPEX secara tempatan (30% lebih tinggi daripada Tempoh Permulaan) minimum RM650,000 setahun;
    3. Menggaji sekurang-kurangnya empat pekerja sepenuh masa.

SFO atau syarikat pengurusan mungkin tidak perlu mendapatkan lesen tertentu di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), seperti untuk pengurusan dana, selagi ia hanya menyediakan perkhidmatan untuk perbadanan berkaitannya, iaitu SFOV.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata bahawa langkah ini memanfaatkan trend peningkatan Pejabat Keluarga di seluruh dunia, menyediakan penyelesaian pengurusan kekayaan yang komprehensif, sambil memanfaatkan persekitaran kawal selia Malaysia yang teguh.

“Mewujudkan Skim SFO meletakkan Malaysia dalam kedudukan untuk meningkatkan pangkalan pelaburnya dengan menarik keluarga serantau dan Malaysia untuk menguruskan kekayaan mereka dari Malaysia,” katanya.

“Unjuran pengganda ekonomi inisiatif ini daripada keperluan bahan tempatan dianggarkan antara RM3.9 bilion hingga RM10.7 bilion. Ini juga termasuk kesan positif ke atas pewujudan pekerjaan mahir dan permintaan untuk perkhidmatan sampingan lain,” tambahnya.
SFOV yang layak boleh memohon kepada SC untuk pensijilan bagi tujuan insentif cukai, tertakluk kepada SFOV yang menunjukkan bahawa ia telah mematuhi syarat yang berkaitan.

SC kini sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk menjalankan skim ini menjelang suku pertama 2025.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai Skim Pejabat Keluarga, sila e-mel ke [email protected].

  1. Instrumen Pejabat Keluarga Tunggal/Single Family Office Vehicle (SFOV) kebiasaannya merupakan instrumen korporat yang dimiliki sepenuhnya, secara langsung atau tidak langsung, oleh satu atau lebih individu daripada satu keluarga dan ditubuhkan semata-mata untuk tujuan memegang pelaburan ahli keluarga.
  2. Syarikat Pengurusan Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) ialah entiti yang menyediakan perkhidmatan pengurusan secara eksklusif kepada Kenderaan Pejabat Keluarga Tunggal (SFOV) yang berkaitan, mengendalikan tugas seperti pengurusan pelaburan, perkhidmatan pentadbiran dan aktiviti lain yang berkaitan untuk manfaat ahli keluarga.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup