ATM Kripto merupakan mesin yang membolehkan individu membeli dan/atau menjual aset digital secara tunai, kad debit/kredit atau e-dompet. Mesin-mesin ini ada di pelbagai lokasi di Malaysia dan membolehkan pertukaran pelbagai jenis aset digital dengan mata wang fiat dan sebaliknya.
SC ingin memberi peringatan kepada orang ramai bahawa entiti yang mengendalikan ATM Kripto dianggap mengendalikan Bursa Aset Digital (DAX) yang perlu berdaftar dengan SC. Setakat ini, SC belum mendaftarkan mana-mana entiti untuk mengendalikan ATM Kripto.
Pihak SC ingin mengingatkan bahawa orang awam yang berurusan dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak sah adalah tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia dan terdedah kepada pelbagai risiko termasuk penipuan dan pengubahan wang haram.
SC juga memberi amaran kepada semua pengendali ATM Kripto yang tidak sah di Malaysia agar segera menghentikan aktiviti mereka. Mengendalikan DAX tanpa kebenaran daripada SC adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang sekuriti Malaysia. Sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Orang ramai boleh mengesahkan sekiranya pengendali aset digital didaftarkan dengan SC di
https://www.sc.com.my/development/digital/digitalassets. Selain itu, para pelabur digalakkan agar memaklumkan pihak SC jika mereka mendapati mana-mana aktiviti atau laman sesawang yang mencurigakan, dan jika mereka menerima panggilan telefon atau e-mel yang menawarkan nasihat dan peluang pelaburan, terutamanya yang menawarkan pulangan tinggi tanpa risiko atau dengan risiko yang rendah.
Pertanyaan atau aduan boleh dibuat kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur kami di talian 03-6204 8999 atau e-mel:
[email protected].