SC InvestSmartTM – langkah mudah bagi pelaburan bijak
19 Jun 2014   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan InvestSmartTM sebuah kempen mengenai celik pelaburan yang menyeluruh di bawah inisiatif Memperkasakan Pelabur SC, bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan yang berkeyakinan dan bermaklumat dalam pasaran modal.

InvestSmartTM bertujuan menyediakan maklumat pelaburan yang berharga untuk generasi pelabur akan datang. Disediakan dalam format yang dipermudahkan melalui platform teknologi baru dan multi media, ia melengkapkan lagi saluran pendidikan pelabur konvensional.

“Pendidikan dan kesedaran merupakah elemen penting bagi perlindungan pelabur. Oleh itu, amat penting memperkasakan para pelabur dengan pengetahuan yang betul supaya mereka menjadi peserta yang berpengetahuan dan berkeyakinan dalam pasaran modal,” kata Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC.

“Kami mahu memulakan komunikasi mengenai pasaran modal dengan golongan muda. Oleh sebab itu, kami meningkatkan usaha pemerkasaan pelabur kami ke tahap yang baru. Menggunakan media digital dan sosial, InvestSmartTM akan memberikan informasi yang bebas dan diyakini serta wahana pelaburan kepada orang ramai.

Melalui InvestSmartTM , SC juga akan berkolaborasi bersama pelbagai pemegang kepentingan, termasuk agensi-agensi, wakil-wakil industri dan pelabur, untuk menjalankan siri program atas talian dan program jerayawara bagi mewujudkan pelabur runcit yang bertanggungjawab, berkeyakinan dan berpengetahuan.

Pelancaran itu turut memperkenalkan laman sesawang InvestSmartTM, laman Facebook, kit permulaan dan aplikasi mudah alih.

Encik Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, ketika melancarkan program InvestSmartTM tersebut di Universiti Taylor Lakeside Campus hari ini berkata, “Memang penting bagi generasi muda bermula awal dalam membuat pelaburan supaya mereka mempunyai masa depan yang lebih terjamin dari segi kewangan. Justeru, saya gembira melihat SC mengetengahkan keperluan generasi akan datang supaya lebih celik pelaburan.”

“Kita semua faham bahawa segmen untuk belia lebih selesa diwujudkan dalam bentuk maklumat ringkas yang mudah diperoleh. Pendekatan strategik SC menggunakan media digital dan sosial supaya sampai kepada bakal pelabur muda merupakan perkembangan yang sangat memberangsangkan dan adalah langkah yang mempunyai hala tuju yang betul,” tambah beliau.

Kempen dan program InvestSmartTM akan diadakan di seluruh negara dengan kerjasama pihak industri dan pelbagai pemegang kepentingan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.InvestSmartSC.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup