SC Keluar Garis Panduan Disemak Semula mengenai Pengiklanan Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal

Kuala Lumpur, 27 Mac 2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan yang disemak semula untuk Pengiklanan Produk Pasaran Modal dan Perkhidmatan Berkaitan.

Garis Panduan tersebut telah disemak semula bagi mengemas kini keperluan dan panduan tertentu dengan mengambil kira tren pengiklanan dan promosi di peringkat global dan domestik. Ini termasuk penggunaan media sosial dan pempengaruh kewangan (finfluencer) yang semakin bertambah.

Semakan semula ini merupakan usaha dalam memastikan aktiviti pengiklanan yang bertanggungjawab berhubung dengan produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Garis panduan yang disemak semula termasuk:

  • keperluan baharu yang berkaitan dengan finfluencer yang tidak terlibat sebagai ejen pemasaran oleh pengiklan, namun atas kerelaan mereka sendiri menjalankan aktiviti pengiklanan untuk sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal. Mereka akan tertakluk kepada keperluan di bawah Garis Panduan kerana dalam konteks Garis Panduan, mereka akan dianggap sebagai pengiklan;
  • peningkatan keperluan yang berkaitan dengan kewajipan pengiklan untuk memastikan aktiviti pengiklanan yang dijalankan oleh ejen pemasaran mereka mematuhi Garis Panduan. Pengiklan sebaliknya akan bertanggungjawab atas kelakuan ejen pemasaran mereka; dan
  • peningkatan keperluan yang berkaitan dengan penggunaan media sosial untuk menangani penggunaannya untuk promosi kewangan yang semakin meluas.

Garis Panduan ini juga akan mengenakan larangan terhadap perkhidmatan pengiklanan oleh individu yang tidak dilesenkan oleh SC di Malaysia.
Garis Panduan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk mempromosikan aktiviti pengiklanan yang bertanggungjawab pada saluran pengiklanan baharu seperti media sosial. Ini seterusnya bagi memastikan pelabur sentiasa dilindungi.

Dalam menyemak dan merangka Garis Panduan tersebut, SC telah, antara lain, menanda aras dengan bidang kuasa seperti Australia, UK dan Singapura. SC juga telah mempertimbangkan maklum balas yang diterima daripada penglibatan dengan pihak berkepentingan berkaitan, termasuk finfluencer.

Garis Panduan yang disemak semula akan berkuat kuasa pada 1 November 2025 bagi memberi masa yang mencukupi untuk pengiklan membiasakan diri dan membuat persediaan yang diperlukan dalam memenuhi keperluan baharu.

Mana-mana pihak berkepentingan boleh menghubungi SC untuk sebarang penjelasan dan panduan berkaitan Garis Panduan yang telah disemak semula. Pertanyaan boleh diajukan kepada [email protected].

Garis Panduan yang disemak semula boleh dimuat turun bersama-sama dengan Soalan Lazim yang disemak semula di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/advertising-and-promotion.

    SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

    Badan-badan Bersekutu SC
    Pautan Berkaitan
    MENGENAI SC
    Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

    Talian Umum: +603-6204 8000
    E-mel Umum: [email protected]
    © Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
    Ooops!
    Generic Popup