SC Keluar Garis Panduan Tadbir Urus Produk untuk Galakkan Inovasi Bertanggungjawab dan Memperkukuh Perlindungan Pelabur

Kuala Lumpur, 24 Jun 2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Tadbir Urus Produk (PGG), untuk mengukuhkan perlindungan pelabur serta menggalakkan pembangunan dan pengedaran produk bertanggungjawab dalam pasaran modal.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada pembaharuan pasaran dan kawal selia SC ke arah meningkatkan tingkah laku industri dan integriti pasaran.
Antara lain, PGG:

  1. menghendaki pengeluar dan pengedar (firma) produk untuk mengutamakan kepentingan pelabur dalam mereka bentuk dan mengedarkan produk pasaran modal tidak tersenarai. Ini perlu dicerminkan dalam kawalan, polisi dan prosedurnya (CPP);
  2. menghendaki firma untuk memastikan CPP meningkatkan kesesuaian produk untuk pasaran sasaran yang dimaksudkan dan mengenal pasti dan mencegah secara proaktif potensi bahaya kepada pelabur;
  3. menekankan tanggungjawab lembaga dan pengurusan dengan mempertanggungjawabkan mereka untuk reka bentuk dan pengedaran produk; dan
  4. memerlukan hubungan kerjasama antara pengeluar produk dan pengedar untuk berkongsi maklumat berkenaan dengan kesesuaian pasaran sasaran bagi memastikan produk itu memenuhi tujuan yang dimaksudkan.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata bahawa PGG memperkukuh usaha SC dalam mempromosikan inovasi dan pengedaran produk yang bertanggungjawab.

"PGG mengguna pakai pendekatan berasaskan prinsip, membolehkan firma melaksanakan rangka kerja tadbir urus produk mereka yang paling sesuai dengan model perniagaan mereka sambil mencapai hasil kawal selia yang diingini."
Kata Dato’ Mohammad Faiz, ini penting dalam melindungi kepentingan pelabur dan memacu inovasi yang bertanggungjawab.

“Dengan melaksanakan rangka kerja tadbir urus produk yang berkesan, firma juga menunjukkan komitmen mereka terhadap amalan perniagaan yang beretika dan bertanggungjawab, yang merupakan kunci untuk membina kepercayaan pelabur dan pengawal selia,” katanya.

PGG, yang telah mengambil kira amalan penanda aras dan maklum balas industri, akan digunakan untuk produk pasaran modal tidak tersenarai kecuali untuk saham biasa, kontrak derivatif di kaunter, modal teroka atau dana ekuiti persendirian dan produk yang ditawarkan pada platform yang dikendalikan oleh pengendali pasaran yang diiktiraf.

Untuk memudahkan peralihan yang lancar, PGG akan berkuat kuasa pada 2 Januari 2026, untuk memberikan firma masa yang mencukupi bagi membiasakan diri dengan keperluan dan persediaan untuk pematuhan.

Pengeluar dan pengedar produk digalakkan untuk mengemukakan sebarang pertanyaan mengenai PGG kepada [email protected].

PGG boleh dimuat turun bersama-sama dengan Soalan Lazimnya di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/product-governance.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup