SC Keluarkan Panduan untuk Pempengaruh Kewangan

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 18 Julai 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengemas kini Nota Panduan Penyediaan Nasihat Pelaburan (Nota Panduan). Ini berikutan peningkatan populariti pempengaruh kewangan (finfluencer) yang mempromosikan produk dan perkhidmatan pasaran modal di media sosial, di samping mewujudkan kesedaran awam yang lebih besar.

Kemas kini itu menjelaskan jangkaan kawal selia SC mengenai perkongsian finfluencer tentang pandangan kewangan dan cadangan mereka di media sosial. Matlamat SC adalah untuk menegakkan keseimbangan pengawalseliaan terhadap aktiviti finfluencer kerana khidmat nasihat pelaburan merupakan aktiviti terkawal di bawah undang-undang sekuriti.

Khususnya, Nota Panduan menjelaskan bahawa aktiviti mempromosi produk pasaran modal di platform media sosial mungkin memerlukan lesen daripada SC dalam keadaan tertentu. Contohnya, perkongsian cerapan kewangan atau pengesyoran dalam mempromosikan produk pasaran modal tertentu kepada pengikut (followers) dengan jangkaan komisen atau ganjaran lain akan memerlukan lesen.

Finfluencers harus mengambil perhatian bahawa penglibatan diri dalam aktiviti terkawal tanpa lesen merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk membimbing finfluencer dalam mematuhi CMSA, SC juga telah menerbitkan maklumat grafik (infographic) dengan soalan lazim dan senarai semak.
Finfluencer harus mengesahkan bahawa syarikat yang mereka promosi adalah dilesenkan atau diluluskan oleh SC dengan menggunakan portal Semak Sebelum Labur SC.

SC, dalam melaksanakan fungsi kawal selianya, memantau pasaran modal secara aktif dan akan terus menangani sebarang perkembangan dan trend dengan, antara lain, mengeluarkan panduan kepada orang ramai. SC akan mengambil tindakan, jika perlu, ke arah memastikan pasaran yang adil dan teratur.

Nota Panduan boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/regulation/guidance-notes-and-guiding-principles dan maklumat grafik boleh didapati di https://www.sc.com.my/investor-empowerment/info-on-finfluencer.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup