Kuala Lumpur, 19 September 2024
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam telah mengenakan pertuduhan terhadap Ruwan Amaresh Shaun Ponniah (Ruwan) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menipu pelabur untuk mendepositkan wang berjumlah RM201,000 untuk pelaburan saham.
SC juga telah mengenakan pertuduhan terhadap Ruwan atas kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen.
Ruwan, 35, merupakan pengarah kanan Pasaran Modal Hutang (Debt Capital Markets) di CIMB Investment Bank ketika kesalahan tersebut dilakukan, iaitu antara bulan Oktober 2018 dan Jun 2020.
Ruwan menghadapi 10 pertuduhan di bawah seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana membuat representasi palsu kepada tujuh individu bahawa dia akan melaburkan wang mereka dalam saham-saham yang disenaraikan di bursa saham Malaysia dan luar negeri.
Jika sabit kesalahan, Ruwan berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
Ruwan juga menghadapi satu pertuduhan di bawah seksyen 58(1) CMSA kerana mengemukakan dirinya sebagai menjalankan urusan pengurusan kumpulan wang tanpa lesen atau bukan seorang orang berdaftar bagi pengurusan kumpulan wang di bawah CMSA.
Pengurusan kumpulan wang merupakan aktiviti terkawal di bawah Jadual 2 CMSA, oleh itu mana-mana orang yang menjalankan aktiviti tersebut perlu dilesenkan oleh SC.
Kesalahan itu membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ruwan mohon dibicarakan bagi kesemua 11 pertuduhan di tiga mahkamah berasingan dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM210,000.
Bagi pertuduhan tunggal di bawah seksyen 58(1) CMSA dan tiga pertuduhan di bawah seksyen 179(b) CMSA, hakim Mahkamah Sesyen Puan Siti Aminah binti Ghazali membenarkan ikat jamin sebanyak RM120,000 dengan seorang penjamin berwarganegara Malaysia.
Tertuduh juga diperintahkan dengan syarat jaminan tambahan iaitu untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan.
Di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul bin Darus pula, Ruwan dikenakan empat pertuduhan di bawah seksyen 179(b) CMSA. Ruwan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM60,000 dengan dua penjamin berwarganegara Malaysia dan syarat jaminan tambahan yang sama.
Di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Puan Hamidah binti Mohamed Deril, Ruwan dikenakan tiga pertuduhan di bawah seksyen 179(b) CMSA. Ruwan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin berwarganegara Malaysia dan syarat jaminan tambahan yang sama.
SC mengingatkan pelabur supaya berhati-hati sebelum melabur dan ketika mempertimbangkan peluang pelaburan.
Orang ramai digesa untuk merujuk SC Investment Checker, portal sehenti di laman web SC - www.sc.com.my/investment-checker - untuk mengesahkan sama ada seseorang individu dan/atau entiti telah diberi kebenaran oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal di Malaysia.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA