SC Kenakan Pertuduhan terhadap Bekas Pengarah Eksekutif/CEO Kumpulan London Biscuits Berhad atas Penyata Kewangan Palsu dan Pemalsuan Rekod Perakaunan Syarikat

Kuala Lumpur, 16 Mei 2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Dato’ Sri Liew Yew Chung, bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan London Biscuits Berhad, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan berkaitan pemberian penyata kewangan palsu kepada bursa saham dan pemalsuan rekod sebuah syarikat tersenarai.

Liew menuntut dibicarakan bagi satu pertuduhan iaitu menyebabkan pemberian penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 30 Ogos 2019. Ini merupakan kesalahan di bawah seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Mengikut pertuduhan, kenyataan palsu berkaitan hasil terkumpul London Biscuits Berhad, berjumlah RM285,985,000, terkandung dalam laporan suku tahunan syarikat pada suku ketiga tempoh kewangannya yang berakhir pada 30 Jun 2019.

Liew dikatakan telah melakukan kesalahan itu di bawah seksyen 367(1) CMSA kerana kedudukannya sebagai pengarah dan ketua eksekutif London Biscuits Berhad pada masa itu.

Jika sabit kesalahan, Liew boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

Selain itu, Liew menghadapi 12 pertuduhan di bawah seksyen 368(1)(a) CMSA kerana mengarahkan penciptaan transaksi palsu berhubung penjualan syarikat dalam rekod perakaunan London Biscuits Berhad antara Oktober 2018 dan Mac 2019.

Transaksi palsu dalam kesemua 12 pertuduhan itu berjumlah RM2,354,430. Liew menuntut dibicarakan untuk semua pertuduhan. Jika sabit kesalahan, Liew boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul bin Darus membenarkan Liew diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin tempatan bagi kesemua 13 pertuduhan. Liew juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya ke mahkamah dan melaporkan kepada Pegawai Penyiasat SC setiap dua bulan sekali.

SC menegaskan pendedahan tepat berkaitan hal ehwal kewangan syarikat tersenarai awam penting dalam memastikan kepercayaan dan keyakinan dalam pasaran modal. Oleh itu, SC akan terus giat menjalankan penguatkuasaan untuk kesalahan seumpamanya.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup