SC Kenakan Pertuduhan Terhadap Bekas Pengarah Syarikat Aktiviti Pasaran Modal Tidak Berlesen

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 9 November 2023

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini telah mengenakan pertuduhan terhadap Muhamad Fadzli Jamaludin (Fadzli), bekas pengarah Kyaputen Sdn Bhd, atas tiga kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen.

Fadzli, 33, dikenakan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur pagi ini, kerana mendakwa dirinya menjalankan perniagaan dalam pengurusan dana tanpa lesen.

Ini merupakan kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.

Pengurusan dana merupakan aktiviti terkawal seperti yang ditetapkan dalam Jadual 2 CMSA dan individu yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku antara November 2018 dan April 2020 di Kuala Lumpur dan Melaka.

Fadzli mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu. Hakim Mahkamah Sesyen Datin Sabariah Othman membenarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan itu. Selain itu, beliau juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

SC menasihatkan pelabur supaya berhati-hati apabila mempertimbangkan peluang pelaburan. Senarai Makluman Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan / tidak berlesen.

Pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected].

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup