Amran, 58, yang bebas sejak 29 Julai 2025, telah ditahan pada 4 September 2025. SC sebelum ini telah menyenaraikan Amran sebagai orang dikehendaki pada 8 Ogos 2025 selepas memperoleh waran tangkap terhadapnya.
Amran berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menipu dua orang pelabur sebanyak RM195,000 dengan membuat representasi kepada mereka mengenai suatu pelaburan unit amanah dalam Kenanga Investors Berhad (KIB).
Bagaimanapun, jumlah wang yang didepositkan oleh pelabur tersebut telah digunakan untuk pelaburan unit amanah Amran sendiri di KIB. Pada masa kejadian, Amran merupakan perunding unit amanah di RHB Asset Management dan seterusnya di KIB.
Amran juga berdepan dengan dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 179(b) CMSA yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana menipu dua orang pelabur lain sebanyak RM20,000 bersama bekas isterinya, Nadihah binti Nawi (Nadihah).
Wang yang didepositkan oleh pelabur tersebut telah digunakan untuk pelaburan unit amanah Nadihah sendiri di KIB. Nadihah merupakan perunding unit amanah di Principal Asset Management Berhad pada masa kejadian dan telah didakwa oleh SC pada 30 Julai 2025.
Kesalahan tersebut berlaku antara Julai 2021 hingga Jun 2022 di Kuala Lumpur.
Amran mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul bin Darus dan Puan Norma binti Ismail.
Bagi dua pertuduhan di bawah Seksyen 179(b) CMSA di hadapan Tuan Azrul bin Darus, Amran dibenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin tempatan. Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan untuk melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC di pejabat SC di Kuala Lumpur setiap bulan.
Bagi dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 179(b) CMSA yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan di hadapan Puan Norma binti Ismail, Amran dibenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan, serta dikenakan syarat tambahan yang sama.
Sekiranya disabitkan kesalahan, Amran boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
SC diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya SC, Mageswary Karroppiah dan pegawai pendakwa Adibah Saiful Bahri, manakala Amran tidak diwakili peguam.
SC mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terhadap sebarang tawaran pelaburan melalui Investment Checker SC di
www.sc.com.my/investment-checker.