SC Laksana InvestSmart® di Pahang untuk Didik Pelabur dan Tingkatkan Kesedaran mengenai Penipuan

Kuala Lumpur, 20 Jun 2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melangsungkan pameran pendidikan pelabur utamanya InvestSmart® ke wilayah pantai timur dengan acara tiga hari di Kuantan untuk memperkasakan pengetahuan mengenai pelaburan dan meningkatkan kesedaran penipuan dalam kalangan pelabur.

Acara yang diadakan pada 20-22 Jun, iaitu Bersama InvestSmart®@Pahang 2025, mengumpulkan pegawai kerajaan, pemain industri pasaran modal dan pengawal selia di bawah satu bumbung sebagai sebahagian daripada inisiatif jangkauan pelabur SC.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato' Mohamad Nizar bin Dato' Sri Mohamad Najib, merasmikan majlis tersebut di East Coast Mall di Kuantan.

Lebih 40 peserta pameran mengambil bahagian dalam acara yang bertemakan ‘Bijak Labur Hidup Makmur’.

SC juga menyediakan ceramah umum, sesi panel, zon anti-penipuan yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk mengetahui tentang penipuan, dan lebih daripada 100 sesi perancangan kewangan percuma di bawah #FinPlan4u®. Pelawat boleh mengetahui tentang matlamat kewangan mereka daripada perancang kewangan berlesen.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi menekankan kepentingan untuk mendekati rakyat Malaysia secara langsung dalam memerangi penipuan pelaburan dan maklumat palsu.

“Pemerkasaan kewangan bermula dengan pendidikan – dan itulah InvestSmart®,” katanya dalam ucapan aluannya.

"Rakyat Malaysia perlu berasa yakin dan bersedia untuk membuat pilihan kewangan yang bijak, terutamanya dalam landskap pelaburan yang berkembang pesat hari ini. Ini termasuk bersedia untuk matlamat jangka panjang seperti perancangan persaraan," katanya.

"Apabila penipuan semakin canggih, pertahanan terbaik ialah orang awam yang berpengetahuan luas. Melalui InvestSmart®, kami membina generasi pelabur berdaya tahan yang bukan sahaja arif tetapi juga cakna tentang penipuan," tambahnya.

Dato’ Mohammad Faiz berkata SC telah melihat lonjakan yang membimbangkan dalam jumlah aduan dan pertanyaan, dengan sebanyak 3,602 aduan dan pertanyaan diterima mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen pada tahun 2024. Ini merupakan peningkatan sebanyak 10% berbanding tahun sebelumnya. Sehingga Mei, SC telah menerima sebanyak 1,218 aduan dan pertanyaan.

Oleh itu, orang ramai digesa supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila berhadapan dengan peluang pelaburan.

Sejak tahun 2014, InvestSmart® telah menjangkau jutaan rakyat Malaysia di seluruh negara melalui pameran dan penglibatan komuniti. Dengan penipuan pelaburan yang semakin meningkat, terutamanya dalam ruang digital, inisiatif seperti InvestSmart® memainkan peranan penting dalam mewujudkan pelabur yang berwaspada dan bermaklumat.

Ini adalah kali pertama Bersama InvestSmart® diadakan di Pahang, berikutan kejayaan edisi di Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.

Untuk maklumat lanjut mengenai Bersama InvestSmart®@Pahang, lawati www.investsmartsc.my atau ikuti akaun media sosial rasmi InvestSmart®.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup