SC lancar pengambilan ke-6 Skim Latihan Siswazah Pasaran Modal

Pertingkat Peluang Pekerjaan dan Peluang Kerjaya Lepasan Ijazah

Kuala Lumpur, 1 Mac 2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC) mempelawa semua graduan untuk mengambil bahagian dalam pengambilan keenam Skim Latihan Siswazah Pasaran Modal (CMGTS), dalam usaha menambah kumpulan graduan tempatan yang dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan pasaran modal.

Dipacu oleh SC melalui bahagian pendidikannya, Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) dan disokong oleh persatuan-persatuan industri pasaran modal, CMGTS bertujuan meningkatkan bekalan tenaga kerja berkemahiran kepada pasaran modal Malaysia dan menampung kekurangan antara kemahiran yang diperoleh di universiti dan kemahiran yang diperlukan oleh industri dan pasaran.

Ketikan menjalani skim latihan tersebut, pemohon yang berjaya akan diberikan peluang untuk memperoleh pengetahuan asas mengenai operasi pasaran modal Malaysia serta mendapat pendedahan praktikal dalam pelbagai sektor pasaran modal dengan menjalani program pelatih selama 12 bulan.

Program sepenuh masa ini merangkumi bengkel selama satu bulan di SC dan 11 bulan program pelatih di syarikat broker saham, bank pelaburan, firma perakaunan, syarikat awam tersenarai dan organisasi terpilih yang mengambil bahagian. Sejak pelancarannya pada bulan April 2003, sejumlah 462 graduan telah berjaya menamatkan skim latihan ini.

CMGTS ditawarkan sekali setahun dan ia terbuka kepada semua lepasan ijazah Malaysia, berumur dari 21 hingga 29 tahun. Mereka mestilah telah tamat pengajian antara tahun 2000 dan 2006, dengan ijazah dalam perakaunan, pentadbiran perniagaan, undang-undang, Shariah, perbankan, matematik, ekonomi atau ijazah analitikal berkaitan yang lain. Elaun bulanan sebanyak RM700 akan diberikan sepanjang tempoh latihan dan setelah tamat latihan, sijil penyertaan akan diberikan.

Lepasan ijazah yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan borang permohonan secara dalam talian melalui tapak web SC di sini.

Mereka juga boleh menghantar e-mel kepada [email protected] atau menghantar sampul surat bersetem dan beralamat sendiri kepada:

Sekretariat CMGTS

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti

Suruhanjaya Sekuriti

3, Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur
Tarikh tutup permohonan bagi pengambilan tahun 2006 adalah pada 31 Mac 2006.

Selepas menamatkan skim latihan ini, graduan akan mendapat lebih pemahaman bagaimana perniagaan dan kewangan beroperasi dalam pasaran modal, mengetahui cara untuk menganalisis nilai produk pasaran modal, menilai risiko dan ganjaran, mengetahui tahap kemahiran teknikal yang diperlukan dan memahami lingkungan peluang kerjaya yang ditawarkan oleh pelbagai sektor industri.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup