Kuala Lumpur, 6 Januari 2026
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Dato’ Seri Ahmad Johan Mohammad Raslan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit (AOB), berkuat kuasa 5 Januari 2026. Dato’ Seri Johan telah berkhidmat sebagai ahli lembaga bukan eksekutif AOB sejak Disember 2020 dan telah dilantik semula sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif AOB.
Dato’ Seri Johan menggantikan Tan Sri Abu Samah Nordin yang telah menamatkan tempoh dua tahunnya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif AOB pada 4 Januari 2026. SC merakamkan penghargaan ikhlas atas kepimpinan ceemerlang Tan Sri Abu Samah kepada AOB sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Dengan pengalaman kepimpinan yang luas merangkumi sektor korporat dan awam, Dato’ Seri Johan membawa kepakaran yang mendalam dalam audit, tadbir urus dan pengawasan kewangan.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia (dari tahun 2004 hingga 2012) dan telah memegang peranan penting termasuk Pengerusi Yayasan Pelaporan Kewangan, ahli Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia, dan ahli Panel Penasihat Antarabangsa di bawah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.
Sebagai pihak berkuasa yang diiktiraf dalam tadbir urus korporat, Dato’ Seri Johan memainkan peranan penting dalam pelancaran Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang pertama pada tahun 2000 dan telah menyumbang kepada semakan berikutnya. Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Sime Darby Property Berhad dan YTL Digital Bank Berhad. Beliau juga merupakan ahli lembaga Institut Pengarah Korporat Malaysia.
Di bawah kepimpinan Dato’ Seri Johan, SC yakin AOB akan terus memperkukuh pengawasan audit dan menegakkan kepercayaan dalam pasaran modal Malaysia.