SC, MAIDAM Meterai MoU Perkasa Pembangunan Aset Wakaf

Kedua-dua agensi sasar teroka penyelesaian pasaran modal Islam bagi menyokong pembangunan aset wakaf di Terengganu

Kuala Lumpur, 24 November 2026

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka penyelesaian pasaran modal Islam (ICM) untuk menyokong pembangunan aset wakaf di Terengganu.

Kedua-dua pihak turut akan meneroka peluang untuk memobilisasi modal swasta serta memanfaatkan kepakaran dan ekosistem pasaran modal Islam Malaysia yang lebih luas, termasuk dalam bidang kewangan sosial Islam.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi dan Yang Dipertua MAIDAM Dato’ Nara Setia telah menandatangani MoU tersebut di SC, disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sempena lawatan tersebut, Dato’ Faiz turut menyampaikan taklimat kepada KDYMM Pemangku Raja Terengganu mengenai pasaran modal Malaysia serta Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP).

Dato’ Faiz berkata MoU tersebut akan membantu memperluas peranan pasaran modal Islam dalam menyokong pembangunan kewangan sosial Islam.

MoU ini juga selaras dengan aspirasi CMP untuk terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam, termasuk memanfaatkan pasaran modal Islam untuk memobilisasi modal bagi menghasilkan impak yang mampan dan bermanfaat secara sosial kepada masyarakat.

“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk menyatukan keupayaan bagi membantu MAIDAM merealisasikan potensi pembangunan aset wakaf yang bersesuaian,” kata Dato’ Faiz.

“Peluang ini melangkaui akses kepada pembiayaan semata-mata. Pasaran modal juga dapat menghimpunkan kepakaran dalam bidang seperti penstrukturan projek, pelaburan, tadbir urus dan pengumpulan dana bagi menyokong pelaksanaan projek wakaf yang berdaya maju serta mampan,” tambah beliau.

Sehingga September 2026, saiz pasaran modal Islam Malaysia mencecah RM2.92 trilion, mewakili kira-kira 64% daripada keseluruhan saiz pasaran 
modal negara yang bernilai RM4.5 trilion1.

Di Terengganu, MAIDAM menguruskan aset tanah wakaf yang bernilai kira-kira RM243 juta, manakala kutipan wakaf tunai terkumpul sejak tahun 2008 telah melebihi RM15 juta.

Dato’ Nara Setia berkata, “MoU ini mencerminkan komitmen MAIDAM untuk meneroka pendekatan yang lebih inovatif dan mampan melalui peluang berasaskan pasaran dalam membangunkan aset wakaf di Terengganu.”

“Kami berharap dapat memanfaatkan keupayaan pasaran modal Islam Malaysia untuk memperluas pilihan pembiayaan bagi projek-projek wakaf yang bersesuaian, sekali gus menyalurkan manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.

Kerjasama ini merupakan kesinambungan kepada penglibatan berterusan SC dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), termasuk penganjuran Meja Bulat Wakaf SC-MAIN julung kalinya pada tahun 2023, bagi mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai peluang dan cabaran dalam pembangunan aset wakaf di Malaysia.
 
Melalui usaha tersebut, SC berhasrat memperkukuh hubungan antara MAIN dan ekosistem pasaran modal dengan menghubungkan projek yang berpotensi, sumber modal, pelabur, pengantara dan kepakaran bagi memperkasa pembangunan aset wakaf yang lebih produktif. 
                
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup