SC, MCMC Perkukuh Pencegahan dan Penguatkuasaan Penipuan

Kuala Lumpur, 3 April 2026

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam penguatkuasaan dan memperkukuh usaha dalam mengurangkan dan mencegah penipuan (scam).

Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut telah ditandatangani oleh Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din di SC. Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi YB Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Kewangan YB Tuan Liew Chin Tong.

MoU tersebut mengetengahkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mempergiatkan kerjasama dalam menangani ancaman penipuan dalam talian (online scam) yang semakin meningkat serta skim pelaburan palsu dan tidak berlesen yang menyalahgunakan platform digital dan teknologi komunikasi.

Kerjasama ini juga termasuk usaha memanfaatkan teknologi baharu dan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan pengesanan, penyiasatan dan penguatkuasaan.

Kerjasama ini sejajar dengan perluasan bidang kuasa Pusat Respons Penipuan Kebangsaan, sekali gus menekankan komitmen bersama untuk melindungi orang ramai daripada penipuan pelaburan digital dan penipuan dalam talian.

Pada tahun 2024 dan 2025, SC dengan bantuan MCMC telah menyekat atau menggantung 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon.

Dato’ Mohammad Faiz berkata MoU ini menggariskan dedikasi SC untuk melindungi kepentingan pelabur dan mengekalkan integriti pasaran.

“MoU ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh usaha melindungi pelabur runcit dan orang awam daripada penipuan. Dengan menggabungkan kepakaran kami, SC dan MCMC boleh bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman yang muncul, meningkatkan perlindungan dan meningkatkan kesedaran awam terhadap penipuan kewangan dan pelaburan tanpa lesen,” katanya.

MCMC menekankan kepentingan kerjasama operasi dalam memastikan persekitaran digital yang lebih selamat, dengan menyatakan bahawa MoU ini mencerminkan komitmen berterusannya untuk melindungi rakyat Malaysia dalam ruang digital. Memandangkan penipuan dalam talian terus berkembang dalam skala dan kecanggihan, penyelarasan antara agensi yang kukuh kekal penting. Kerjasama ini akan memperkukuh perkongsian risikan, mempercepatkan usaha penguatkuasaan dan memanfaatkan teknologi untuk mengesan dan menurunkan kandungan berkaitan penipuan dengan lebih cekap, mencerminkan tanggungjawab bersama untuk melindungi orang ramai dan menegakkan kepercayaan dalam ekosistem digital Malaysia.

Kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada mesyuarat kerjasama pertama antara kedua-dua badan yang diadakan pada Mac 2025. Susulan daripada ini, pelbagai penglibatan telah diadakan, membuka jalan untuk usaha mitigasi penipuan yang dipertingkatkan termasuk sekatan laman web dan kandungan berkaitan penipuan dengan lebih pantas dan penerokaan alatan teknologi baharu.

Bidang kerjasama lain termasuk memperkukuh kerjasama dalam perkongsian risikan, membangunkan Prosedur Operasi Standard dan pembinaan kapasiti dalam siasatan dan protokol penguatkuasaan yang diselaraskan.

Orang ramai juga boleh menantikan inisiatif pendidikan awam bersama yang menawarkan pandangan dan kesedaran tentang penipuan pelaburan, pelaburan yang bertanggungjawab, keselamatan kewangan dan keselamatan digital.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup