SC Memberi Peringatan kepada Orang Ramai mengenai Pelaburan dalam Syarikat "Komoditi Lani (Spot)"

Kuala Lumpur, 1 November 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak membuat pelaburan dalam syarikat-syarikat yang dikenali sebagai syarikat komoditi lani.

Amaran ini berikutan serbuan oleh SC ke atas tiga buah syarikat di Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2000 kerana menjalankan dagangan komoditi niaga hadapan secara haram di pasaran luar negara.

Tiga syarikat tersebut menyamar sebagai syarikat "komoditi lani" dan menganggap diri mereka sebagai pedagang komoditi dalam pasaran lani/tunai. Mereka menerima wang tunai daripada orang ramai bagi menjalankan dagangan dalam pelbagai komoditi seperti kopi, kapas, kacang soya dan perut babi.

Walau bagaimanapun, melalui penyiasatannya SC mendapati dagangan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat tersebut adalah bertentangan dengan dagangan lani/tunai memandangkan terdapatnya unsur-unsur dagangan niaga hadapan seperti penghantaran bukan fizikal komoditi, penutupan kedudukan bagi mendapat keuntungan atau kerugian, dagangan leveraj, penerimaan deposit margin dan panggilan margin, "peralihan" kedudukan terbuka dan sebagainya.

Aktiviti-aktiviti ini membolehkan sesebuah syarikat atau individu dikenakan tindakan undang-undang. Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 melarang penubuhan, operasi dan penyelenggaraan sesebuah pasaran niaga hadapan kecuali ia telah diluluskan oleh Menteri Kewangan. Akta tersebut juga melarang dagangan kontrak-kontrak niaga hadapan kecuali yang diberi lesen oleh SC. Pelanggaran mana-mana larangan ini merupakan satu kesalahan yang membawa hukuman denda sehingga satu juta ringgit atau hukuman penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

SC telah menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai aktiviti syarikat-syarikat "komoditi lani" ini. Selalunya, amalan perniagaan syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini adalah meragukan dan tahap profesionalisme dan etika kakitangan mereka boleh dipertikaikan. Para pengadu mendakwa bahawa mereka telah mengalami kerugian berjumlah puluhan ribu ringgit hingga melebihi satu ratus ribu ringgit, dalam masa beberapa hari.

Orang ramai adalah dimaklumkan bahawa dagangan komoditi lani tidak diberikan lesen atau dikawal selia oleh SC. Walau bagaimanapun, jika produk atau mekanisme dagangan syarikat komoditi lani ini mempunyai ciri-ciri kontrak niaga hadapan, aktiviti-aktiviti tersebut adalah di bawah bidang kuasa SC. SC telah menerima maklumat mengenai kewujudan syarikat "komoditi lani" sedemikian yang beroperasi di Kuala Lumpur dan di beberapa bandar di seluruh Malaysia. Bagi membantu orang ramai mengenali syarikat-syarikat ini dan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan ini, SC menyediakan beberapa panduan mengenai ciri-ciri penting dan kaedah operasi syarikat-syarikat ini:
MENGENALI SESEBUAH SYARIKAT "KOMODITI LANI"
Syarikat "komoditi lani" biasanya mendakwa bahawa mereka adalah "ejen" bagi rumah-rumah dagangan asing, yang biasanya ditubuhkan dalam bidang kuasa seperti Macau, Indonesia, Singapura, Kepulauan British Virgin dan Bahama.
Walaupun syarikat "komoditi lani" ini mendakwa memperdagangkan produk mereka dalam pasaran asing, terdapat bukti yang amat kecil yang menunjukkan dagangan ini disalurkan kepada bursa-bursa komoditi asing. Sebenarnya, pedagang-pedagang syarikat ini mengamalkan apa yang dikenali sebagai "bucketing", di mana mereka melaksanakan pesanan pelanggan bagi akaun mereka sendiri dan bukannya di pasaran, dengan harapan mengaut keuntungan daripada sesuatu urus niaga `offset' pada masa hadapan.
Syarikat "komoditi lani" ini mendapatkan pelaburan daripada para pelabur melalui "perunding perniagaan" mereka atau "pengurus", yang sebenarnya adalah pedagang, melalui panggilan rambang.
Syarikat-syarikat tersebut juga menarik peluang perniagaan dengan mengambil kakitangan baru, yang kemudiannya digalakkan untuk melabur dan/atau membawa masuk rakan-rakan atau saudara-mara sebagai pelabur. Syarikat "komoditi lani" ini akan membuat iklan bagi kakitangan baru untuk mengisi jawatan-jawatan seperti Eksekutif, Pembantu Pentadbir atau Kerani, melalui ruang iklan di surat khabar tempatan. Seseorang kakitangan yang layak kemudiannya ditemu duga dan diberikan "latihan" beberapa hari. Pada akhir latihan tersebut, kakitangan ini digalakkan untuk melabur simpanan mereka dalam produk tersebut dan/atau menarik pelabur lain. Dalam beberapa kes, kakitangan ini diugut dengan "tiada gaji" sehingga pelaburan dibuat atau dibawa masuk.
Untuk melabur, para pelabur biasanya diminta untuk membuat bayaran permulaan yang dipanggil "deposit margin" berjumlah sekitar USD3,000 hingga USD5,000. Pelabur kemudian dinasihatkan bahawa pelaburan mereka akan disalurkan kepada prinsipal asing syarikat tersebut. Biasanya pelabur akan dikehendaki menandatangan satu perjanjian dagangan, kononnya, dengan prinsipal asing syarikat tersebut.
Waktu Perniagaan syarikat-syarikat ini bermula pada sebelah malam sehingga awal pagi, bagi mewujudkan alasan yang munasabah agar berbetulan dengan waktu dagangan bursa-bursa komoditi asing seperti di New York dan Chicago. Pedagang-pedagang tersebut biasanya merujuk kepada Reuters, Bernama dan pembekal maklumat atas talian lain bagi meyakinkan pelabur mengenai kesahihan mereka.
Pengadu-pengadu yang telah tampil kepada SC mengesahkan bahawa deposit margin permulaan mereka telah hilang dalam masa beberapa hari, yang mengakibatkan "panggilan margin". Panggilan margin merupakan permintaan syarikat komoditi lani kepada pelanggan mereka bagi deposit tambahan untuk meneruskan dagangan. Selalunya, syarikat tersebut menggalakkan para pelabur untuk terus membuat dagangan untuk menampung kerugian mereka. Deposit tambahan kemudian dibuat dan proses ini akan berulang, yang mengakibatkan pelabur mengalami kerugian yang bertambah. Dalam beberapa kes pula, akaun pelabur menunjukkan keuntungan dagangan sekali-sekala. Walau bagaimanapun, pelabur menghadapi kesukaran dalam menunaikan keuntungan mereka, dan akhirnya, kesemua pelaburan mereka hilang. Dalam kebanyakan kes, pelabur tidak mempunyai kawalan ke atas kaedah dagangan dalam akaun mereka, kerana mereka telah memindahkan hak kepada pedagang syarikat tersebut untuk melaksanakan dagangan bagi pihak mereka.
SC memberi peringatan kepada orang ramai bahawa syarikat "komoditi lani" ini cenderung untuk menukar nama dan premis mereka setiap masa untuk mengelak daripada dikesan penguat kuasa berkaitan. Mereka juga mengubah kaedah operasi dan amalan perniagaan mereka untuk menipu pelabur yang tidak mengambil tahu.

Orang ramai yang ingin membuat dagangan dalam komoditi adalah diingatkan untuk berbuat demikian melalui broker niaga hadapan berlesen. Laman web SC menyediakan senarai broker niaga hadapan berlesen yang dikemas kini secara berkala.

SC menggalakkan orang ramai yang tidak pasti mengenai status lesen mana-mana syarikat atau individu yang berdagang dalam sekuriti untuk menghubungi alamat berikut:

Unit Pengaduan
Tel: 03-6204 8999
Faks: 03-6204 8991
E-mel: [email protected]

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup