Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan Sabah, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, telah merasmikan siri jelajah sehari ‘Kembara Borneo – Sabah’ yang bertemakan
‘Enterprise to Expansion’ di Kota Kinabalu. Kira-kira 200 wakil daripada persatuan perniagaan tempatan, agensi kerajaan, pengantara pasaran modal dan usahawan telah menghadiri acara tersebut.
Inisiatif ini memajukan aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP) SC untuk mewujudkan pasaran modal yang lebih inklusif dan berdaya tahan melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan seluruh negara. Ia juga memperkukuh pelan hala tuju bertajuk ‘
Memangkin Akses bagi PMKS dan MTC ke Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028)’ bagi meluaskan akses kepada pembiayaan berasaskan pasaran untuk PMKS dan MTC.
PMKS menyumbang kira-kira 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan hampir 50% daripada jumlah pekerjaan pada tahun 2025. Hal ini amat relevan bagi ekonomi wilayah yang berkembang pesat seperti Sabah, apabila semakin banyak perniagaan berkembang seiring dengan kemajuan ekonomi negeri serta memerlukan akses kepada modal untuk memperluas skala operasi.
Sabah dipilih sebagai lokasi seterusnya bagi siri jelajah ke seluruh negara ini memandangkan kekukuhan dan potensi pertumbuhan sektor-sektor utamanya, termasuk pertanian, pelancongan dan pembuatan. Pada tahun 2025, sektor pertanian menyumbang sebanyak 13.9% kepada KDNK Sabah, manakala sektor pembuatan berkembang sebanyak 5.0% dan menarik pelaburan bernilai RM7.6 bilion.
Sektor pelancongan juga merupakan pemacu utama bagi sektor perkhidmatan, yang menyumbang lebih separuh daripada ekonomi negeri tersebut. Sektor-sektor ini menawarkan peluang besar bagi perniagaan di Sabah untuk berkembang ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan mempelbagaikan perniagaan ke pasaran baharu. Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi, menyatakan bahawa Pelan Induk Pasaran Modal SC berhasrat untuk meluaskan lagi akses kepada pasaran modal Malaysia serta peluang pembiayaan bagi perusahaan.
“Kami lihat perkara ini telah dicerminkan melalui MyCIF, dengan pengumpulan dana sebanyak RM7.7 bilion untuk lebih 11,500 PMKS sejak tahun 2019, serta NIMP CoSIF, yang telah memudah cara pengumpulan dana awam-swasta melebihi RM243 juta sejak pelancarannya tahun lalu. Inisiatif-inisiatif ini menunjukkan bagaimana pembiayaan berasaskan pasaran dapat menyokong perniagaan pada pelbagai peringkat pertumbuhan,” kata beliau.
Susulan kejayaan MyCIF dan CoSIF, satu dana pelaburan bersama strategik baharu dirancang untuk tahun hadapan, dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, bagi menyokong sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas. Inisiatif ini memanfaatkan potensi dana pelaburan bersama sebagai instrumen dasar untuk menarik modal swasta bagi meluaskan akses pembiayaan kepada perusahaan kecil serta menyokong keperluan strategik negara.
Dato’ Faiz menambah, “Siri jelajah ini merupakan bahagian penting dalam usaha jangkauan nasional SC bagi meningkatkan kesedaran mengenai peluang pembiayaan seumpama itu. Pada masa yang sama, ia memberikan usahawan Sabah gambaran praktikal tentang bagaimana platform pembiayaan alternatif dan dana pelaburan bersama dapat memacu pertumbuhan mereka.”
Siri jelajah ini bermula di Pulau Pinang pada Ogos 2026, dengan menghubungkan perniagaan semikonduktor tempatan serta rantaian bekalan mereka dengan peluang pembiayaan pasaran modal melalui platform ECF dan P2P. Siri jelajah seterusnya akan diadakan di Selangor menjelang akhir tahun ini.
Penglibatan ini memanfaatkan NIMP CoSIF, iaitu dana pelaburan bersama yang ditubuhkan melalui kerjasama antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan SC. Dana tersebut menyokong PKS dan Syarikat Pertengahan (MTC) dalam sektor pembuatan strategik dan berimpak tinggi dengan memudah cara akses kepada modal pertumbuhan, sekali gus membolehkan mereka mengembangkan operasi serta menyumbang kepada aspirasi Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.