SC mencela Andrew Chan Kian Sang dan Tetuan Dass Mohamad Chartwell Brooke Hiller Parker Sdn Bhd, dan mengenakan sekatan untuk tidak menerima permohonan mereka

Kuala Lumpur, 15 Oktober 2003

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengenakan celaan awam, dan mengenakan sekatan untuk tidak menerima permohonan daripada penilai Andrew Chan Kian Sang dan firma penilaian Tetuan Dass Mohamad Chartwell Brooke Hiller Parker Sdn Bhd (DMC) bagi tempoh masing-masing selama 12 dan 3 bulan, kerana ketidakpatuhan dengan “Garis Panduan Nilaian Aset yang Dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti”.

Chan ialah penilai berdaftar dan pengarah DMC, dan juga penanda tangan bagi laporan penilaian yang dikemukakan kepada SC melalui AmMerchant Bank Berhad berkenaan dengan pelaksanaan penyusunan semula Plantation and Development (Malaysia) Bhd (P&D) pada tahun 2002.

Laporan penilaian tersebut yang dikemukakan kepada SC didapati gagal menzahirkan butiran penting berkenaan dengan harta tanah perbandingan yang digunakan dalam penilaian, serta pendekatan penilaian yang digunakan bagi salah satu bidang tanah adalah tidak konsisten dengan penzahiran yang dibuat di dalam laporan berkenaan. Laporan tersebut juga gagal memberi justifikasi dan penjelasan bagi beberapa andaian yang digunakan dalam penilaian. Harta tanah yang dinilaikan sebanyak RM745,000,000 oleh Chan itu melibatkan beberapa bidang tanah berukuran 1,648 ekar di Ijok, Selangor.

Dalam celaan umum yang dikeluarkan melalui pihak akhbar dan yang dimuatkan di dalam laman web SC, pihak SC menyatakan bahawa kedua-dua pihak dicela dan dikenakan sekatan daripada membuat permohonan kepada SC atas kegagalan untuk bertindak secara profesional dan kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab ketekunan wajar sebagai seorang pakar dalam penyediaan laporan penilaian bagi permohonan kepada SC.

“Pakar-pakar seperti penilai, akauntan dan peguam adalah dilatih secara professional dalam bidang masing-masing. Mereka mempunyai tanggungjawab perundangan dan moral untuk melaksanakan profesionalisme dan ketekunan wajar serta mengambil langkah yang perlu untuk memastikan kecukupan dan ketepatan maklumat yang dizahirkan dan yang digunakan apabila memberikan pendapat kepakaran mereka. Seseorang pakar, sebelum membenarkan namanya dikaitkan dengan sebarang pendapat, perlu memastikan bahawa penilaian terperinci dan ketekunan wajar dijalankan dan beliau boleh menjustifikasikan pandangannya,” kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

Beliau menegaskan bahawa profesionalisme dan ketekunan wajar adalah amat penting dalam rejim berteraskan penzahiran penuh.

“Pakar yang mengambil kesempatan atas status mereka atau gagal melaksanakan ketekunan wajar ketika memberikan pandangan mereka, mesti bersedia menghadapi akibatnya kerana tindakan mereka memberi kesan buruk kepada pelabur dan pasaran secara keseluruhan. SC tidak akan bertolak ansur dengan tindakan sedemikian dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap pesalah,” tambah Pengerusi SC.

Kedua-dua Chan dan DMC telah diberikan surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak harus diambil ke atas mereka. Penjelasan daripada mereka didapati tidak memuaskan.


CELAAN AWAM

  • ANDREW CHAN KIAN SANG (V342), PENILAI BERDAFTAR DAN PENGARAH FIRMA PENILAIAN, DASS MOHAMAD CHARTWELL BROOKE HILLIER PARKER SDN BHD; DAN
  • DASS MOHAMAD CHARTWELL BROOKE HILLIER PARKER SDN BHD (Nombor Pendaftaran Lembaga Penilai: VE(1) 0048/3 dan Nombor Syarikat: 448073 A)(DMC).

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mencela Andrew Chan Kian Sang, seorang penilai berdaftar, dan Dass Mohamad Chartwell Brooke Hillier Parker Sdn Bhd, sebuah firma penilaian atas kegagalan melaksanakan professionalisme dan kegagalan melaksanakan tanggungjawab ketekunan wajar yang diperlukan sebagai seorang pakar dalam penyediaan laporan penilaian berhubung pelaksanaan Penyusunan Semula bagi Plantation and Development (M) Berhad yang dikemukakan kepada SC oleh AmMerchant Bank Berhad, pada 2002.

Laporan penilaian tersebut melibatkan beberapa bidang tanah berukuran 1,648 ekar di Ijok, Selangor yang dinilaikan sebanyak RM745,000,000 oleh Andrew Chan Kian Sang daripada DMC. Andrew Chan Kian Sang yang menandatangani laporan tersebut adalah juga seorang pengarah DMC. Laporan penilaian berkenaan didapati tidak mematuhi Garis Panduan Nilaian Aset yang Dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti. Laporan yang dikemukakan kepada SC tersebut gagal menzahirkan butiran penting harta tanah perbandingan yang digunakan dalam penilaian, dan pendekatan penilaian yang digunakan bagi salah satu bidang tanah adalah tidak konsisten dengan penzahiran yang dibuat di dalam laporan itu. Laporan tersebut juga gagal memberi justifikasi dan penjelasan bagi beberapa andaian yang digunakan dalam penilaian.

SC juga mengenakan sekatan berikut ke atas Andrew Chan Kian Sang dan DMC yang berkuat kuasa serta merta:

  • Tidak menerima permohonan daripada Andrew Chan Kian Sang kepada SC selama 12 bulan; dan
  • Tidak menerima permohonan daripada DMC kepada SC selama 3 bulan.

Surat tunjuk sebab

DMC dan Andrew Chan Kian Sang telah diberikan surat tunjuk sebab dan telah diberikan peluang untuk menjelaskan mengapa tindakan tidak harus diambil ke atas mereka. Penjelasan mereka telah didapati tidak memuaskan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup