SC Mulakan Kohort Ke-2 Program Kepimpinan investED

Lebih ramai pelajar dan syarikat sertai program tahun ini

Kuala Lumpur, 9 Ogos 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memulakan kohort kedua Program Kepimpinan investED, sebuah inisiatif yang diterajui SC untuk memastikan saluran bakat yang mampan dalam industri pasaran modal.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2023, program graduan itu dibangunkan untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.

Inisiatif tersebut merupakan kerjasama pertama seumpamanya antara SC, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, industri pasaran modal dan universiti. Program investED ini terbuka kepada semua graduan Malaysia dari semua disiplin.

Untuk kohort kedua ini, Program Kepimpinan investED menawarkan penempatan kepada 268 pelatih. Pada 1 Ogos 2024, seramai 197 pelatih telah memulakan latihan kelas komprehensif selama sebulan di Asia School of Business, Kuala Lumpur. Ini akan diikuti dengan pengalaman bekerja selama enam bulan dengan rakan kongsi industri terkemuka, mulai 1 September 2024.

Kohort pertama yang terdiri daripada 169 calon telah menamatkan pengajian pada bulan Februari tahun ini selepas menamatkan penempatan kerja selama enam bulan dengan 53 syarikat rakan kongsi pasaran modal. Lebih daripada 65% daripada mereka ditawarkan pekerjaan dengan rakan kongsi investED.
Tahun ini, program investED telah melibatkan rangkaian syarikat rakan kongsi yang lebih luas. Ia termasuk bank pelaburan, syarikat broker saham, syarikat pengurusan dana, platform pendanaan ramai ekuiti dan khidmat nasihat.

Setakat ini, 50 syarikat rakan kongsi telah bersetuju untuk menempatkan pelatih bagi kohort kedua. Syarikat hos dengan penempatan tertinggi ditawarkan termasuk SC, Kenanga Investment Bank Berhad, Moomoo Securities Sdn Bhd, Hong Leong Group, Affin Hwang Investment Bank dan Maybank.


Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata kerjasama dengan pelbagai syarikat akan memberikan pendedahan berharga dalam pelbagai aspek industri, di samping menawarkan pelatih pengalaman yang menyeluruh.

Sejak penubuhannya, investED juga telah mengadakan aktiviti libat urus bersama 77,185 pelajar universiti melalui lapan pameran kerjaya dan 36 ceramah kerjaya di seluruh negara. Ia merancang untuk melibatkan lebih ramai pelajar, universiti dan syarikat rakan kongsi tahun ini.

Program itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pasaran modal 9,000 pelajar universiti dan menyediakan sehingga 600 pekerjaan dalam industri pasaran modal antara tahun 2023 dan 2025.

Untuk maklumat lanjut mengenai program investED, layari www.invested.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup