SC, MyCreative Nobat Pemenang Pertandingan Batik Lestari
Beberapa reka bentuk yang menang akan ditampilkan dalam Kepengerusian ASEAN 2025

Kuala Lumpur, 5 Disember 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan MyCreative Ventures Group (MyCV) malam ini mengumumkan pemenang Pertandingan Reka Bentuk Batik Lestari, acara yang julung kali diadakan untuk meraikan kekayaan warisan Malaysia dan untuk memberi penghormatan kepada tukang batik tempatan.

Pemenang dinobatkan pada Malam Batik Lestari, acara kemuncak yang menandakan berakhirnya pertandingan reka bentuk Batik Lestari yang diadakan dari 16 September hingga 31 Oktober 2024.

Batik Lestari, inisiatif antara SC dan MyCV, bertujuan untuk mempromosikan batik Malaysia di pentas global, sejajar dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat batik sebagai simbol kebanggaan negara dan warisan budaya.
 
Ia juga menyokong Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025, dengan beberapa reka bentuk batik yang menang akan dipaparkan pada Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN 2025 dan mesyuarat lain yang berkaitan.

Hadiah disampaikan pada majlis yang dihadiri kira-kira 400 orang termasuk pegawai kanan kerajaan, pemimpin korporat, pereka fesyen dan tukang batik.

Pemenang hadiah utama ialah Muhammad Nazri bin Mat Nasir, yang membawa pulang wang tunai RM30,000 dan trofi. Pemenang kedua dan ketiga ialah Athirahjuhari x Shudd dan Elegen Dinamik, yang masing-masing membawa pulang RM15,000 dan RM10,000 serta trofi. Lima peserta menerima hadiah saguhati RM2,000 setiap seorang.

Anugerah khas Batik Lestari telah diberikan kepada Rozi bin Mohammad Nor dan Elegen Dinamik kerana menggabungkan amalan kelestarian seperti penggunaan pewarna semula jadi dan pengurangan sisa dalam proses pembuatan batik mereka.

Para tetamu majlis Malam Batik Lestari juga telah mengundi reka bentuk kegemaran mereka untuk 'Anugerah Pilihan Rakyat'.

Lebih 80 penyertaan dinilai berdasarkan keseluruhan persembahan, keaslian budaya dan kreativiti dalam mengetengahkan elemen motif Malaysia oleh panel juri yang terdiri daripada tujuh orang.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata bahawa Batik Lestari bukan sahaja harus memberi inspirasi kepada reka bentuk yang indah tetapi juga dalam memastikan industri kreatif dan budaya dapat berkembang maju dalam ekonomi moden dan circular.

“Batik Lestari menerapkan nilai daripada Malaysia MADANI; iaitu wawasan Malaysia yang maju, inklusif dan penyayang. Di mana kekuatan kolektif kita tercermin bukan sahaja dalam ekonomi, tetapi dalam kehidupan seharian rakyat dan seni budaya kita,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCV Zainariah Johari, intipati tradisi bukan hanya terletak pada pemeliharaan tetapi pada evolusi.

“Inisiatif Batik Lestari bukan sekadar perayaan batik; ia merupakan platform untuk tukang dan pereka untuk mentakrifkan semula sempadannya, menggabungkan ketukangan abadi dengan inovasi kontemporari,” katanya.

“Dengan memupuk kreativiti dan kemampanan, kami menyasarkan untuk memperkasakan generasi baharu untuk meneruskan warisan yang kaya ini ke pentas global. Ini dapat memberi inspirasi kepada dunia dengan kisah-kisah yang akan meninggalkan kesan yang berkekalan, sama seperti cetakan blok batik,” katanya.
Sambutan diteruskan dengan Pesta Batik Lestari selama dua hari yang dibuka kepada orang ramai dari 5-6 Disember 2024 di SC di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma.

Pengunjung boleh melawati pameran batik Malaysia yang meriah melalui pelbagai aktiviti menarik, termasuk:
  • Pameran batik yang mempamerkan penyertaan Pertandingan Reka Bentuk Batik Lestari
  • Bengkel teknik menghasilkan batik
  • Filem animasi, tayangan Batik Girl
  • Jualan batik terpilih yang menampilkan jenama seperti Batik Bujins, Batik Fleur, Batik Udara, BatikTektura, KAWI, The Mokara, Ruzzgahara, Jadi Batik dan Butik Batik yang menawarkan perkhidmatan pra-pesanan dan potongan sedia untuk dipakai.

Untuk maklumat lanjut mengenai Batik Lestari, layari www.batiklestari.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
MYCREATIVE VENTURES GROUP

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup