Cadangan tersebut bertujuan untuk meningkatkan daya saing pasaran aset digital terkawal1 Malaysia, meningkatkan perlindungan pelabur dan mengukuhkan daya tahan dan integriti pengendali DAX.
Sejak pengenalan rangka kerja DAX pada tahun 20192, SC telah melihat pertumbuhan yang stabil dalam industri aset digital Malaysia. Ini dapat dilihat pada tahun 2024 yang mencatatkan jumlah nilai dagangan tertinggi iaitu sebanyak RM13.9 bilion, meningkat 2.6 kali ganda daripada tahun 2023.
Dengan pelbagai jenis aset dan perkhidmatan digital merentas pasaran modal ditawarkan, SC juga melihat minat yang semakin meningkat daripada kalangan pengantara pasaran modal konvensional dan pelabur institusi yang ingin mengambil bahagian dalam ruang aset digital. Ini sama ada melalui pelaburan langsung dalam aset digital atau secara tidak langsung melalui dana pelaburan.
DAX memainkan peranan penting dalam membolehkan capaian yang bertanggungjawab kepada pelaburan aset digital, dalam persekitaran terkawal yang menggalakkan pasaran yang adil, telus dan teratur.
Kertas perundingan merangkumi bidang utama berikut:
- Liberalkan rangka kerja untuk penyenaraian aset digital pada DAX, tertakluk kepada pemenuhan kriteria minimum tertentu
SC mencadangkan untuk menamatkan keperluan persetujuan langsungnya untuk penyenaraian aset digital tertentu pada DAX, tertakluk pada kriteria minimum tertentu. Ini bertujuan untuk mempercepatkan masa ke pasaran, meningkatkan akauntabiliti pengendali DAX dan meluaskan penawaran produk. - Peningkatan keperluan berkaitan dengan melindungi aset dan tadbir urus pelanggan
Pengendali DAX akan tertakluk kepada keperluan tadbir urus operasi dan kawalan yang dipertingkatkan, termasuk keperluan yang berkaitan dengan pengasingan aset pelanggan. Ini memastikan tadbir urus dan amalan operasi DAX sepadan dengan risiko yang berkaitan dengan operasi mereka. - Keperluan yang diperkukuh untuk pengendali DAX
Pengendali DAX perlu memenuhi kriteria kewangan minimum tertentu untuk memastikan integriti dan daya tahan kewangan dan operasi yang lebih kukuh, ditambah pula dengan mekanisme perlindungan pelabur yang teguh. Ini adalah untuk menanam keyakinan di kalangan peserta pasaran modal untuk berdagang melalui atau dengan DAX terkawal.
SC mengalu-alukan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pengeluar aset digital, bakal dan pengendali DAX terkawal sedia ada, institusi kewangan, peserta pasaran modal dan pihak lain yang berminat seperti persatuan industri, profesional perundangan dan pematuhan.
Tempoh perundingan awam adalah dari 30 Jun hingga 11 Ogos 2025.
Kertas perundingan boleh didapati dalam talian di
https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SC di
[email protected].