“Adalah penting bagi pelabur institusi antarabangsa dan peserta lain dalam pasaran modal, termasuk pengawal selia sekuriti, mengalaminya secara langsung dan pengiktirafan situasi di kalangan umum serta inisiatif penting yang diambil oleh Malaysia,” kata Datuk Ali.
Datuk Ali menyatakan sedemikian pada akhir siri mesyuarat peringkat tinggi Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO), yang dianjurkan oleh Malaysia sepanjang dua minggu lalu.
Pembabitan sedemikian menyediakan pengalaman pembelajaran yang terbaik bagi yang berkepentingan, yang mungkin tidak menyedari situasi di Malaysia, kata beliau.
“Dalam kes CalPERS (California Public Employees’ Retirement System), kita menjemput mereka ke sini, dan mengambil bahagian dalam perbincangan serta berkongsi pandangan dan idea. Hasil daripada itu, saya percaya mereka sekarang lebih berkeyakinan untuk berurusan dengan Malaysia serta lebih memahami apa yang sedang kita lakukan dan sebabnya,” kata Datuk Ali.
Oleh itu, adalah penting bahawa semua yang berkepentingan dalam pasaran modal Malaysia mengambil langkah bersama dengan membabitkan diri secara aktif dan langsung dengan peserta utama, dan memperkukuh keyakinan dalam pasaran tempatan, kata beliau.
“Keyakinan ialah pendorong utama bagi pertumbuhan dan pembangunan negara dan tidak boleh dipandang remeh,” kata beliau.
“Kehadiran ramai pelawat dari pasaran maju dan baru muncul sepanjang dua minggu lalu, saya percaya merupakan satu gambaran keyakinan terhadap rantau ini dan Malaysia,” kata beliau.
Beliau berkata pandangan positif mengenai Malaysia oleh beberapa peserta pasaran terkemuka yang melawat negara baru-baru ini menggambarkan keyakinan ini. Peserta pasaran termasuk CalPERS, McKinsey & Co, ING Baring dan Bank HSBC.
“Kita diperakui kerana mempunyai wawasan yang kukuh terhadap pasaran dan ekonomi kita. Perundangan dan rangka kerja pengawalseliaan kita dipandang tinggi,” kata beliau.
“Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk mengetuai inisiatif antarabangsa di mana kita mempunyai kelebihan komparatif atau kepakaran. Ini memastikan pandangan Malaysia diambil kira secara langsung dan mewujudkan kesedaran yang lebih mengenai kekuatan Malaysia,” kata beliau.
Datuk Ali menambah bahawa beliau berpuas hati dengan hasil mesyuarat pertama pasukan petugas mengenai pasaran modal Islam IOSCO pada hari ini, yang dipengerusikan oleh beliau, dan mengatakan bahawa beliau meletakkan harapan kepada usaha pasukan petugas tersebut dalam mewujudkan kesedaran di peringkat antarabangsa yang lebih tinggi mengenai kewangan Islam di kalangan peserta pasaran bukan Islam dan Islam. Ahli pasukan petugas tersebut termasuk pengawal selia dari Australia, Jordan, Itali, Afrika Selatan, Turki, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Sejajar dengan usaha menggalakkan lagi kerjasama pengawalseliaan antarabangsa, SC telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Sekuriti Jordan pada 31 Oktober 2002, menjadikan jumlah MoU bersama rakan sejawatan antarabangsanya sebanyak 16, termasuk yang ditandatangani bersama Australia, Perancis dan Hong Kong.