Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata: “Dengan meneruskan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, SC boleh memanfaatkan kepakaran mereka untuk memacu pembaharuan dan penambahbaikan yang diperlukan ke arah mengukuhkan kerancakan, keterangkuman dan daya saing pasaran modal Malaysia.”
Pengurangan saiz lot dagangan dan pengenalan dagangan pecahan saham yang didagangkan di Bursa Malaysia akan menyediakan akses yang lebih besar kepada kumpulan pelabur yang lebih luas, terutamanya pelabur runcit dan muda, untuk melabur dalam pasaran saham dan membina portfolio yang seimbang. Ini juga akan meningkatkan dagangan dan kecairan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat dan pelabur, dan mewujudkan persekitaran pasaran yang lebih aktif dan dinamik.
Beliau berkata Bursa Malaysia sedang meninjau untuk mengurangkan lot dagangan daripada 100 saham kepada tahap yang sesuai, dengan mengambil kira keperluan untuk pendekatan pelaksanaan paling berkesan dengan broker bersetuju untuk menyemak semula komisen minimum semasa bagi membolehkan pengurangan saiz lot dagangan.
Selanjutnya, SC juga telah bersetuju untuk memberikan fleksibiliti kepada broker sekuriti untuk menawarkan dagangan pecahan bagi meningkatkan akses pelabur runcit kepada pasaran saham. Broker yang menawarkan dagangan pecahan saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia perlu mematuhi satu set prinsip yang luas, seperti ketelusan harga.
Berhubung dengan pemindahan automatik syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, beberapa isu dan prinsip yang lebih luas yang dibincangkan di SCID 2023 termasuk mempunyai kriteria yang bermakna untuk memastikan kemampanan syarikat yang digalakkan untuk memenuhi keperluan untuk terus kekal di Pasaran Utama.
Dato’ Seri Dr. Awang berkata proses pemindahan itu akan memberi manfaat kepada syarikat Pasaran ACE yang berkelayakan dengan memberikan mereka peluang yang lebih besar dan akses kepada kumpulan pelabur yang lebih besar.
Selain itu, peningkatan bilangan syarikat tersenarai dengan permodalan pasaran yang besar di Pasaran Utama akan menawarkan pelbagai peluang pelaburan dalam pasaran modal Malaysia kepada lebih ramai pelabur, terutamanya pelabur besar dan asing.
Beliau berkata kriteria dan proses itu kini sedang dikaji dan dibincangkan bersama Bursa Malaysia, dan pengumuman lanjut akan dibuat apabila rangka kerja itu dimuktamadkan.
Beliau menambah, "Kami menyasarkan kriteria kelayakan untuk pemindahan automatik siap menjelang akhir 2023, manakala prinsip luas untuk dagangan pecahan akan dikeluarkan pada akhir Q3 tahun ini."
SCID 2023 yang diadakan dengan pihak berkepentingan industri minggu ini adalah tepat pada masanya dalam memudahkan pelaksanaan langkah pasaran modal ini. Ia juga telah memberikan pandangan yang berguna dan menghasilkan idea-idea baharu untuk terus membangunkan pasaran modal.