Secara khususnya, garis panduan SC bertajuk "
Guidelines for the Issuance of Structured Warrants" menyediakan kaedah alternatif penerbitan waran berstruktur serta memperkenalkan satu instrumen pelaburan baru yang dikenali sebagai Struktur Berkaitan Ekuiti Bul ("
Bull Equity Linked Structures) (Bull ELS). Tambahan lagi, garis panduan baru tersebut akan memudahcarakan lagi pengeluaran jenis waran berstruktur yang lain seperti waran opsyen beli (
call warrant ) dan waran '
basket' .
Garis panduan terkini ini merupakan satu peningkatan dan penambahan kepada, serta menggantikan garis panduan bertajuk "
Guidelines for the Issue of Call Warrants" , yang diperkenalkan pada tahun 2003. Perumusan garis panduan baru tersebut membabitkan rundingan bersama peserta industri yang utama pada awal tahun ini. Garis panduan yang dipinda dan butiran lanjut mengenai langkah dan pindaan tersebut dalam satu set Soalan Lazim (FAQ) boleh didapati di tapak web SC di sini.
Kaedah penempatan yang dibenarkan bagi penerbitan waran berstruktur yang lebih efisien dan keberkesanan kos
Bagi menggalakkan lagi pasaran waran struktur dan mewujudkan proses penerbitan yang lebih efisien dan keberkesanan kos, garis panduan baru tersebut membenarkan penerbitan melalui penempatan sebagai tambahan kepada kaedah penerbitan sedia ada bagi tawaran awam awal. Ini juga adalah sejajar dengan proses penerbitan dalam pasaran antarabangsa lain, dan akan memudahcarakan penawaran berganda waran berstruktur ketika tempoh sah prospektus asas, dan menjadikan masa ke pasaran yang lebih pendek bagi penyenaraian waran berstruktur.
Di bawah kaedah penempatan tersebut, penerbit dikehendaki mendaftar prospektus asas dengan SC, yang akan sah selama setahun, yang disokong oleh kertas terma (term sheet) sebelum penerbitan sebenar setiap waran berstruktur ketika tempoh sah prospektus tersebut.
Pengenalan Struktur Berkaitan Ekuiti Bul
Bull ELS merupakan instrumen hasil pelaburan yang berkait dengan saham bertanda, dan memberikan pelabur pulangan yang bergantung kepada harga penutup saham pendasar ketika matang.
Sekiranya harga penutup saham pendasar ketika matang adalah sama atau melebihi harga yang ditentukan oleh penerbit (harga laksana), pelabur akan menerima amaun tunai pada nilai jumlah par ELS (jumlah pelaburan tambah premium).
Sebaliknya, sekiranya harga penutup saham pendasar ketika matang jatuh di bawah harga laksana, pemegang akan sama ada menerima amaun penyelesaian tunai yang sama dengan harga penutup saham ketika matang atau sejumlah saham pendasar yang telah ditentukan lebih awal.
Peruntukan yang kukuh bagi melindungi integriti pasaran
Sebagai tambahan kepada langkah untuk meliberalisasikan dan menyeragamkan keperluan penerbitan yang sedia ada bagi waran berstruktur, garis panduan baru tersebut mengandungi peruntukan yang bertujuan mengukuhkan integriti pasaran.
Ini termasuk peruntukan yang lebih teguh mengenai kriteria penerbit yang berkelayakan bagi waran berstruktur yang tidak bercagar, pengurangan saiz terbitan minimum kepada RM5 juta, menyeragamkan saiz maksimum bagi kedua-dua waran berstruktur bercagar dan tidak bercagar kepada tidak melebihi 20% daripada modal saham syarikat pendasar dan menyeragamkan kaedah pengiraan harga penyelesaian tanpa mengira sama ada terbitan waran berstruktur tersebut ialah boleh laksana cara Eropah atau Amerika.