SC Perkenal Panduan Maqasid Al-Syariah berasaskan Prinsip untuk Pasaran Modal Islam

SIARAN AKHBAR

Kuala Lumpur, 2 November 2023

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memperkenalkan Panduan Maqasid Al-Syariah buat Pasaran Modal Islam Malaysia (Panduan). Panduan berasaskan prinsip ini merupakan kesinambungan usaha bagi membangun dan menggalakkan industri terus kukuh dan berdaya tahan.

Panduan ini menggariskan prinsip-prinsip universal bagi meningkatkan kelebihan daya saing pasaran modal Islam (ICM) dan mengukuhkan impak dan sumbangan ICM kepada masyarakat dan ekonomi sebenar (real economy).

Dengan mematuhi piawaian etika tertinggi berdasarkan prinsip teras Syariah, inisiatif ini dijangka dapat mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pihak berkepentingan utama.

Ini juga selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC, yang bertujuan mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju global dalam ICM dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pusat serantau bagi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) patuh Syariah.

Panduan tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Persidangan SC-Bank Dunia hari ini.

Persidangan yang berlangsung selama sehari itu dihadiri lebih 150 pemain industri termasuk pengamal pasaran modal, institusi kewangan Islam, penasihat Syariah, peserta antarabangsa dan agensi kerajaan.

Sehingga Ogos 2023, pasaran modal Islam menyumbang sebanyak 64% atau RM2.4 trilion daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia.

Dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu, Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, “Dokumen berasaskan prinsip ini tidak bertujuan untuk menggantikan keperluan Syariah sedia ada. Sebaliknya, ia adalah untuk melengkapkan undang-undang dan peraturan SC yang sedia ada."

"Ini sama dengan konsep "halal" dan "tayyib" di mana produk bukan sahaja dibenarkan tetapi juga bermanfaat, mampan dan baik untuk masyarakat," tambahnya.

Panduan ini dirangka selaras dengan enam aspirasi menyeluruh yang sesuai dalam konteks ICM. Ia terdiri daripada:
  1. Aspirasi 1: Kemanusiaan
  2. Aspirasi 2: Keadilan dan Ihsan
  3. Aspirasi 3: Kejelasan dan Ketelusan
  4. Aspirasi 4: Fleksibiliti dan Inovasi
  5. Aspirasi 5: Fidusiari dan Akauntabiliti
  6. Aspirasi 6: Kebolehcapaian dan Keterangkuman

Setiap aspirasi menggariskan prinsip-prinsipnya yang tersendiri, dengan sejumlah 15 prinsip sebagai rujukan untuk pasaran modal.

Penceramah pada Persidangan hari ini juga membincangkan ekosistem impak sosial Malaysia dan keperluan untuk penyertaan sektor swasta yang lebih besar dalam ruang sosial dan impak.

Selain itu, mereka juga membincangkan cara-cara menerokai dana kebajikan dan endowmen untuk menyokong projek sosial yang akan memberi manfaat kepada masyarakat.

Maklumat lanjut mengenai Panduan boleh didapati di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup