SC Perkenal Pemindahan Penyenaraian Dipercepatkan daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama untuk Syarikat Pasaran ACE yang Layak

siaran akhbar

Kuala Lumpur, 13 Disember 2023

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memperkenalkan proses pemindahan yang dipercepatkan untuk memudahkan kenaikan syarikat awam tersenarai (PLC) Pasaran ACE yang layak ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Rangka kerja ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 melalui pindaan kepada Garis Panduan Ekuiti.

Pemindahan penyenaraian yang dipercepatkan ini sebahagian daripada pelbagai langkah pasaran modal yang diperkenalkan oleh SC untuk merancakkan pasaran saham dan mengurangkan geseran pasaran.

Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, “Pasaran ACE kekal sebagai sumber pembiayaan penting dalam pasaran modal ekuiti Malaysia, dengan 20 penyenaraian Pasaran ACE mengumpul sebanyak RM1.26 bilion melalui tawaran awam awal setakat Oktober tahun ini.”

"Proses pemindahan yang dipercepatkan ini akan memanfaatkan PLC Pasaran ACE yang cukup besar dan layak dengan mempercepatkan pemindahan ke Pasaran Utama untuk kebolehlihatan dan akses yang lebih besar kepada kumpulan pelabur, termasuk pelabur asing dan institusi," katanya.

Pemindahan ke Pasaran Utama, iaitu pasaran terbaik bagi syarikat ternama, membuktikan bahawa PLC di Pasaran ACE telah mencapai standard dari segi kualiti, saiz dan operasi.

Proses pemindahan yang baru dipermudahkan dan dipercepatkan ini seharusnya memberi insentif kepada lebih banyak syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE untuk melakukan usaha berterusan bagi meningkatkan nilai korporat mereka dan mencapai pertumbuhan yang mampan untuk para pemegang saham.

Di bawah proses baharu ini, PLC Pasaran ACE mesti, antara lain, mempunyai permodalan pasaran harian sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk enam bulan yang lalu, dan memenuhi keperluan keuntungan bagi syarikat yang ingin disenaraikan di Pasaran Utama.

Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula yang akan memudahkan pemindahan boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/equity.

suruhanjaya sekuriti malaysia

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup