SC Rapatkan Jurang Pendanaan Industri Semikonduktor melalui Pembiayaan Pasaran Modal

Pulau Pinang, 19 Ogos 2026

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan siri pertama jerayawara dalam usaha menghubungkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) dalam industri strategik Malaysia dengan penyelesaian pembiayaan pasaran modal.

Jerayawara sulung Powering SemiCons: Financing Your Next Breakthrough, telah diadakan di Pulau Pinang. Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Chow Kon Yeow berucap pada acara tersebut.

Pameran Bergerak Semikonduktor ini bertujuan meningkatkan kesedaran syarikat semikonduktor dan syarikat berkaitan dalam rantaian bekalan tentang pilihan pengumpulan dana yang tersedia dalam menyokong pengembangan perniagaan, penerimaan teknologi dan inovasi mereka bagi meningkatkan daya saing jangka panjang. Usaha ini selaras dengan ‘Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028)’.

Pasaran modal melengkapi pembiayaan bank tradisional dengan menawarkan perniagaan rangkaian penyelesaian pendanaan yang lebih luas. Ini termasuk Ekuiti Pendanaan Ramai (ECF), Pembiayaan Rakan Setara (P2P), Modal Teroka (VC), Ekuiti Persendirian (PE), hutang persendirian dan pasaran awam.

Secara kolektif, saluran pembiayaan ini membentuk eskalator pendanaan (funding escalator) yang menyokong perniagaan pada pelbagai peringkat pertumbuhan, daripada permulaan hingga penyenaraian awam dan pengembangan ke peringkat serantau.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata industri semikonduktor kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan transformasi perindustrian Malaysia.

"Seiring dengan peningkatan rantaian nilai syarikat, akses kepada pembiayaan yang bersesuaian menjadi semakin kritikal. Pasaran modal dapat membantu merapatkan jurang ini dengan menawarkan mereka rangkaian saluran pembiayaan yang lebih luas selain daripada pembiayaan tradisional,” katanya.

"Melalui inisiatif seperti NIMP CoSIF1, ECF dan pembiayaan P2P, kami membolehkan PKS dan MTC semikonduktor meningkatkan modal pertumbuhan, mengukuhkan daya saing dan merebut peluang dalam industri semikonduktor global yang semakin dinamik," tambahnya.

Sejak penubuhannya, NIMP CoSIF telah memudahcarakan pengumpulan dana awam-swasta berjumlah RM221.23 juta untuk 42 syarikat Malaysia setakat akhir Julai 2026.

Diiktiraf secara meluas sebagai "Lembah Silikon Timur", Pulau Pinang merupakan tonggak ekosistem semikonduktor Malaysia. Disokong oleh lebih 50 tahun kecemerlangan perindustrian, negeri ini menempatkan lebih 350 MNC, lebih 6,500 PKS dan empat daripada 10 syarikat semikonduktor terbaik dunia – menjadikannya salah satu hab semikonduktor paling bertenaga dan terhubung secara global di rantau ini.

Jerayawara ini telah menghimpunkan lebih 150 peserta dari seluruh ekosistem semikonduktor dan pasaran modal, termasuk syarikat semikonduktor, perantara pasaran modal, pelabur, agensi kerajaan dan pengawal selia, serta pemboleh ekosistem utama.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk pembentangan dan perbincangan berkaitan pembiayaan pasaran modal serta pameran gerai dan sesi pemadanan perniagaan bersama pengendali ECF dan P2P yang mengambil bahagian untuk meneroka pilihan pengumpulan dana.

Sesi di Pulau Pinang ini merupakan yang pertama dalam siri penglibatan seluruh negara yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan penerimaan penyelesaian pembiayaan pasaran modal dalam sektor perindustrian Malaysia.

Jerayawara seterusnya akan diadakan di hab industri utama termasuk Selangor, dengan matlamat untuk melibatkan pemain semikonduktor tempatan dan menghubungkan mereka dengan peluang pembiayaan yang tersedia melalui pasaran modal.

Melalui penglibatan ini, SC berharap dapat memudahkan lebih banyak PMKS dan MTC dalam memperoleh modal pertumbuhan, meningkatkan operasi dan menyumbang kepada aspirasi Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).

Jerayawara ini juga mencerminkan inisiatif dan komitmen SC untuk memperluas akses kepada pembiayaan untuk syarikat berpotensi tinggi, sekali gus menyokong teras Keterangkuman dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030.


1 Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP CoSIF) ialah skim pelaburan bersama awam-swasta di mana Kerajaan melabur bersama pelabur swasta pada nisbah yang telah ditentukan dalam perniagaan yang beroperasi merentasi 25 sektor yang digariskan dalam NIMP 2030. NIMP CoSIF memanfaatkan platform pembiayaan ECF dan P2P. Sejak penubuhannya, ia telah memudahcarakan pengumpulan dana awam-swasta berjumlah RM185 juta untuk 40 syarikat Malaysia setakat akhir Jun 2026.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup