SC Sediakan Panduan untuk Membantu Syarikat Pengurusan dan Pemegang Amanah Memenuhi Keperluan Pematuhan dan Kawalan Dalaman

Kuala Lumpur, 3 Jun 2003

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan satu panduan untuk membantu syarikat pengurusan dan pemegang amanah merangka kawalan dalaman yang efektif dalam organisasi mereka.

Panduan tersebut yang bertajuk “Guide on Areas Compliance and Internal Controls for Management Companies and Trustees” merupakan satu set amalan terbaik untuk melengkapi Guidelines on Unit Trust Funds (dikeluarkan pada 1 April 2003). Panduan ini akan menjadi alat penting bagi syarikat pengurusan dan pemegang amanah untuk memenuhi tanggungjawab mereka dalam persekitaran kawal seliaan berteraskan penzahiran (disclosure-based regulations – DBR).

Panduan tersebut telah dirangka sehaluan dengan objektif DBR untuk menggalakkan integriti pasaran dan perlindungan pelabur. Bagi tujuan ini, panduan berkenaan mengenalpasti aspek-aspek utama mengenai pematuhan dan kawalan dalaman yang perlu dijadikan tumpuan oleh syarikat pengurusan dan pemegang amanah dalam penyediaan manual pematuhan dan operasi untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan perniagaan unit amanah.

Dua puluh satu aspek mengenai pematuhan dan kawalan dalaman disenaraikan dalam panduan tersebut. Ini termasuk pengasingan dan penugasan fungsi; pemisahan kewajipan, fungsi pematuhan dan audit dalaman, pengurusan risiko, penilaian, pengurusan pelaburan, penyimpanan aset dengan selamat, percanggahan kepentingan serta penzahiran dan pelaporan.

Namun demikian, syarikat pengurusan dan pemegang amanah perlu prihatin terhadap aspek-aspek lain yang mungkin tidak tersenarai di dalam panduan berkenaan kerana pada dasarnya merekalah yang bertanggungjawab untuk memastikan semua aspek risiko yang mungkin timbul dikenalpasti dan ditangani dengan sempurna.

Syarikat pengurusan dan pemegang amanah perlu sentiasa mengkaji semula dan mempertingkatkan struktur pematuhan dan kawalan dalaman serta peranan dan fungsi kakitangan pematuhan agar sesuai dengan persekitaran dalaman dan luaran organisasi.

Panduan tersebut boleh didapati di laman web SC di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup