Kira-kira 150 perwakilan dari lebih 20 negara telah menghadiri Meja Bulat yang berlangsung selama dua hari di SC.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyampaikan Ucaptama di Meja Bulat dan merasmikan pelancaran peringkat Asia bagi Prinsip Tadbir Urus Korporat (Prinsip) G20/OECD yang disemak semula.
Prinsip itu merupakan penanda aras global untuk rangka kerja undang-undang, kawal selia dan institusi berkenaan tadbir urus korporat. Ia telah disahkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di New Delhi pada 11 September 2023.
Prinsip yang disemak semula itu bertujuan untuk menangani perubahan dan cabaran yang muncul yang dihadapi oleh syarikat di seluruh dunia, antaranya perubahan iklim dan pendigitalan, yang membawa kepada ketidaktentuan dan cabaran baharu.
Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, “SC mengalu-alukan konsensus antarabangsa yang diperbaharui mengenai jangkaan tadbir urus seperti yang terkandung dalam Prinsip yang disemak. Ini kekal sebagai instrumen penting yang membimbing rangka kerja kawal selia dan institusi, termasuk Malaysia, yang sudah sejajar secara meluas dengan panduan baharu dalam Prinsip.”
Dalam ucapannya di Meja Bulat, beliau menekankan bahawa tadbir urus korporat yang baik kekal sebagai teras keutamaan kawal selia SC dan penting untuk mencapai matlamat dan sasaran kemampanan.
Beliau juga mengumumkan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha kemampanan SC, satu jawatankuasa kemampanan khas di Lembaga Pengarah SC telah dibentuk untuk mengukuhkan tadbir urus dalaman dan pengawasan strategik bagi isu berkaitan kemampanan.
Timbalan Ketua Setiausaha OECD, Encik Yoshiki Takeuchi, menegaskan bahawa Prinsip yang disemak semula itu terus mencerminkan pengalaman dan pertimbangan kedua-dua ekonomi maju dan sedang pesat membangun.
"Pengajaran utama yang kami dapati daripada hampir 25 tahun menggalakkan pelaksanaan Prinsip, ialah dasar tadbir urus korporat yang direka dengan baik memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyokong pembangunan pasaran modal tetapi juga dalam mencapai objektif ekonomi yang lebih luas," katanya.
“Ini termasuk meningkatkan kemampanan dan daya tahan syarikat serta menggalakkan inovasi, produktiviti dan keusahawanan dengan membolehkan akses syarikat kepada kewangan,” tambahnya.
Prinsip yang disemak semula juga merangkumi, buat pertama kalinya, kemampanan dan daya tahan untuk membantu syarikat mengurus risiko dan peluang kemampanan berkaitan iklim dan lain-lain.
Meja Bulat OECD-Asia tahun ini membincangkan isu tadbir urus korporat semasa termasuk peranan tadbir urus dalam kemampanan dan daya tahan, pelabur institusi dan pengawasan modal serta peningkatan dalam penggunaan pembiayaan bon dan implikasi terhadap hak pemegang bon.
Sebelum mengadakan sidang Meja Bulat OECD-Asia ini, SC juga telah menjadi tuan rumah bersama bagi Meja Bulat Lembaga Piawaian Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa (IAASB) Asia Pasifik, yang membincangkan draf piawaian IAASB mengenai jaminan kemampanan, Standard Antarabangsa mengenai Jaminan Kelestarian (ISSA) 5000.
Lebih 70 peserta termasuk wakil daripada pengawal selia pasaran modal dan pelabur institusi terlibat, termasuk ahli Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR).
Penglibatan ACSR meliputi rangka kerja pelaporan kemampanan negara Malaysia termasuk pembangunan rangka kerja jaminan yang sesuai untuk maklumat kemampanan.