Semakan tersebut antara lain termasuk, penambahan dua bahagian baru kepada Garis Panduan ETF sedia ada khususnya mengenai Penawaran ETF Asing di Bursa Securities dan Prosedur Permohonan bagi Penawaran ETF Asing di Bursa Securities. Bahagian tersebut menyatakan prosedur permohonan dan keperluan pengemukaan bagi pengurus dana asing yang berminat untuk menawarkan ETF mereka di Malaysia, dan ini merangkumi kriteria, keperluan bagi kelulusan sesuatu dokumen penawaran, pelantikan dan fungsi seseorang wakil.
Di bawah Garis Panduan yang disemak tersebut, pengurus dana boleh memohon penyenaraian sekunder bagi sesebuah ETF asing di Bursa Malaysia sekiranya ia dari bidang kuasa yang diiktiraf (seperti yang tersenarai dalam Garis Panduan bagi Penawaran, Pemasaran dan Pengagihan Dana Asing). Kini penyenaraian silang boleh dilakukan bagi sesebuah ETF asing dari bidang kuasa yang tidak diiktiraf yang mempunyai sistem kawal selia yang setanding dengan sistem di Malaysia.
SC mengadakan rundingan bersama beberapa pengurus dana ketika merumus semakan tersebut. Sejajar dengan semakan kepada Guidelines on Unit Trust Funds dan Guidelines on Real Estate Investment Trusts baru-baru ini, peruntukan-peruntukan Garis Panduan ETF juga telah diseragamkan untuk rujukan yang lebih mudah.
Ketika ini terdapat tiga ETF disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad, iaitu ABF Malaysia Bond Index Fund, FBM 30 ETF dan MyETF Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25.