SC: Syarikat tersenarai mesti umum sebelum 3 September sekiranya waran Surat Ikatan mempunyai peruntukan bagi pelanjutan

Kuala Lumpur, 28 Ogos 2001

Bagi membantu pelabur awam dalam membuat keputusan pelaburan termaklum, semua syarikat tersenarai yang mempunyai Surat Ikatan waran tersenarai yang mengandungi peruntukan ekspres bagi pelanjutan tempoh laksana waran dikehendaki mengumumkan melalui Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) selewat-lewatnya pada 3 September 2001 bahawa mereka mempunyai peruntukan sedemikian.

Pengumuman tersebut juga hendaklah mengandungi butir-butir harga laksana dan tempoh laksana sedia ada waran, serta petikan peruntukan yang terkandung dalam Surat Ikatan waran yang menyatakan keadaan di mana tempoh laksana waran boleh dilanjutkan.

Tempoh laksana waran yang sedia ada dan tersenarai di BSKL hanya boleh dilanjutkan sekiranya Surat Ikatan yang mentadbir waran ini membenarkan pelanjutan tersebut.

Keperluan dan prosedur ini yang mesti dipatuhi sebelum pelanjutan waran boleh dijalankan telah dijelaskan oleh pihak SC dalam kenyataan akhbarnya bertarikh 30 Oktober 1998, yang boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my.

Pihak SC ingin mengingatkan pelabur awam bahawa tidak semua waran tersenarai sedia ada mempunyai peruntukan ekspres bagi pelanjutan tempoh laksana waran dalam Surat Ikatan mereka. Walaupun terdapat peruntukan sedemikian, syarikat tersenarai tersebut boleh memutuskan untuk tidak melanjutkan tempoh laksana waran mereka.

Syarikat tersenarai yang kini mempunyai waran tersenarai dimaklumkan bahawa mereka sekarang tidak dibenarkan meminda Surat Ikatan waran mereka untuk memasukkan peruntukan ekspres bagi pelanjutan tempoh laksana waran mereka. Waran syarikat tersenarai ini akan tamat apabila luput tempoh laksana.

Berpandukan perundingan dengan pihak industri, pihak SC telah memutuskan bahawa waran baru yang diterbitkan oleh syarikat tersenarai selepas tarikh siaran akhbar ini adalah tidak dibenarkan untuk melanjutkan tempoh laksana ketika dalam tempoh waran tersebut dan tidak boleh memasukkan peruntukan untuk pelanjutan dalam Surat Ikatan mereka. Oleh itu, syarikat tersenarai mesti memutuskan dengan berhati-hati tempoh waran baru yang dicadang untuk diterbitkan kerana tempoh laksana waran tidak boleh diubah selepas tempoh tersebut telah ditetapkan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


PROSEDUR BAGI PERMOHONAN MELANJUTKAN TEMPOH LAKSANA WARAN

(Dikeluarkan berikutan Siaran Akhbar 28 Ogos 2001 mengenai pelanjutan tempoh laksana waran)

Bagi waran tersenarai syarikat tersenarai sedia ada dengan Surat Ikatan yang mempunyai peruntukan ekspres bagi pelanjutan tempoh laksana waran, cadangan untuk melanjutkan tempoh laksana waran itu mesti mematuhi keperluan berikut:

  1. Kelulusan SC mesti diperolehi bagi pelanjutan tersebut. Permohonan kepada SC bagi kelulusannya hendaklah disokong justifikasi bagi permohonan pelanjutan dan pendapat undang-undang daripada firma perundangan mengatakan bahawa pelanjutan tempoh laksana bagi waran tersebut tidak melanggari mana-mana undang-undang, prospektus atau dokumen tawaran yang diterbitkan pada masa penawaran waran dan Surat Ikatan yang mentadbir waran tersebut.
  2. Permohonan kepada SC hendaklah dibuat secepat mungkin tetapi dalam apa-apa hal, tidak melebihi dua minggu dari tarikh syarikat tersenarai itu membuat pengumuman mengenai cadangannya untuk melanjutkan tempoh laksana warannya;
  3. Satu pengumuman yang sesuai hendaklah dibuat oleh syarikat tersenarai serta merta selepas kelulusan SC bagi pelanjutan tempoh laksana waran, yang mana pengumuman tersebut hendaklah mengandungi kenyataan yang jelas bahawa, walaupun pelanjutan tersebut, tempoh laksana bagi waran itu tidak akan melebihi 10 tahun sebagaimana yang dibenarkan menurut seksyen 68(1) Akta Syarikat 1965; dan
  4. Selepas kelulusan SC diperolehi bagi pelanjutan tempoh laksana waran -
  • Kelulusan daripada pemegang saham syarikat tersenarai hendaklah diperolehi bagi pelanjutan tersebut yang mana sekurang-kurangnya 75% pemegang saham yang hadir di mesyuarat pemegang saham hendaklah mengundi menyokong pelanjutan tersebut; dan
  • Kelulusan daripada pemegang waran hendaklah diperolehi bagi pelanjutan tersebut; dan
  • Pengarah syarikat tersenarai tersebut atau mana-mana pegawai utama syarikat tersenarai tersebut hendaklah, dalam urus niaga waran mereka, mematuhi keperluan mengenai urus niaga sekuriti, sebagaimana yang ditetapkan bawah Keperluan Penyenaraian BSKL.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup