Memastikan Pelabur Mendapat Angka Kewangan yang Benar
Kuala Lumpur, 15 Februari 2007
Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengenakan celaan awam kepada Nasioncom Holdings Berhad (NHB) dan mengarahkan syarikat tersebut membetulkan dan mengeluarkan semula penyata kewangannya bagi tahun berakhir 31 Disember 2005 dalam tempoh satu bulan.
NHB mengemukakan maklumat palsu kepada SC berhubung dengan hasil daripada jualan yang tidak diurusniagakan, dalam penyata kewangan 2005nya. Dengan berbuat demikian, NHB telah melanggar seksyen 122B(a)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.
Siasatan SC menunjukkan bahawa hasil kumpulan NHB sebanyak RM194,984,186 yang dinyatakan dalam penyata kewangan 2005nya mengandungi jumlah jualan sebanyak RM143,109,727 yang tidak diurusniagakan. Jualan ini telah direkodkan dalam penyata kewangan dua subsidiari NHB, iaitu Nasioncom Sdn Bhd dan Express Top-up Sdn Bhd.
Pengeluaran semula penyata kewangan 2005 NHB mesti disertakan dengan pengumuman kepada Bursa Malaysia Berhad mengenai pembetulan yang dibuat serta alasan dan kesannya.
Pembetulan dan pengeluaran semula penyata kewangan 2005 NHB akan memastikan bahawa pelabur mempunyai maklumat yang lengkap dan tepat untuk membuat keputusan pelaburan bermaklumat.
SC memandang pengeluaran penyata kewangan oleh NHB yang mengandungi maklumat palsu sebagai satu kesalahan serius. Oleh itu, tindakan selanjutnya boleh diambil terhadap individu yang menyebabkan keluarnya penyata kewangan 2005 tersebut yang mengandungi urus niaga palsu. Penyiasatan SC mengenai perkara ini masih berjalan.
Semua syarikat tersenarai yang lain dan pengarah mereka juga diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk memberikan maklumat kewangan yang tepat kepada orang ramai yang melabur. SC mengulangi lagi bahawa ia akan mengambil tindakan terhadap syarikat tersenarai dan pegawai mereka jika gagal mematuhi mana-mana peruntukan undang-undang sekuriti.
Skor Kad SC Q4 2006 & Statistik Pengemukaan yang Diluluskan oleh SC pada Q4 2006
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA