SC temui Syarikat Broker Saham untuk bincang Isu Penggabungan

Kuala Lumpur, 2 Mei 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengadakan satu dialog tertutup dengan wakil kesemua 47 syarikat broker saham mengenai rangka kerja polisi bagi penggabungan industri broker saham. Dialog tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

Dialog itu membolehkan SC mendapatkan maklum balas daripada syarikat broker saham mengenai isu-isu berkaitan proses penggabungan, terutamanya mengenai langkah-langkah lanjut yang boleh diambil oleh kedua-dua pihak pengawal selia dan industri untuk mempercepat proses penggabungan. Sejajar dengan ini, dialog tersebut juga menyediakan peluang kepada syarikat broker saham untuk menjelaskan isu-isu umum berkaitan dengan rangka kerja polisi itu, di samping isu-isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat kerja biasa bersama pihak SC.

Pada sesi dialog tersebut, SC menyatakan sekali lagi bahawa semua syarikat broker saham mesti bergabung sekurang-kurangnya dengan sebuah syarikat broker saham lain sementara syarikat broker saham yang bercadang untuk menjadi Broker Universal mesti bergabung dengan tiga buah syarikat lain.

Bilangan syarikat broker saham telah berkurangan daripada jumlah asal 66 (sebelum pengenalan rangka kerja polisi) kepada 47. Berpandukan pengumuman yang dibuat oleh syarikat broker saham dan cadangan-cadangan yang diterima oleh SC sehingga 2 Mei 2002, bilangan syarikat broker saham dijangka berkurangan kepada 33.

SC sehingga kini telah memberikan status Broker Universal kepada lima buah syarikat broker saham. SC memuji Broker Universal ini kerana memandang ke hadapan dan hasil daripada ini, telah meraih manfaat pelbagai insentif yang ditawarkan kepada Broker Universal.

Broker Universal dibenarkan untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan pasaran modal dan oleh itu, mendapat keistimewaan dalam mengembangkan aktiviti mereka di luar fungsi pembrokeran saham sebenar dan yang diamalkan selama ini. Mereka juga dibenarkan untuk menubuhkan cawangan tambahan dan kemudahan akses elektronik di seluruh negara. Sehingga kini, SC telah meluluskan 28 cawangan tambahan dan lapan kemudahan akses elektronik di pelbagai tempat.

Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) telah memberikan komitmennya kepada SC bahawa ahli-ahlinya akan bergabung dengan sekurang-kurangnya sebuah syarikat broker saham lain. Sehingga kini, 16 syarikat broker saham belum lagi mengumumkan atau mencadangkan apa-apa pelan penggabungan. SC telah bertemu dengan syarikat-syarikat ini secara berkala untuk mencari jalan memudahcarakan usaha penggabungan mereka.

SC juga mengambil kesempatan tersebut untuk mengingatkan syarikat broker saham untuk melaksanakan amalan pengurusan risiko yang baik dan kawalan dalaman yang sewajarnya dalam menjalankan aktiviti perniagaan mereka. Syarikat broker saham juga diingatkan mengenai tanggungjawab mereka terhadap pelanggan dan tugas mereka untuk mematuhi semua undang-undang dan peraturan berkaitan untuk memastikan bahawa integriti pasaran sentiasa dikekalkan.

Polisi penggabungan tersebut bertujuan memperkukuh industri dan membentuk satu kumpulan teras syarikat broker saham yang mempunyai modal yang banyak untuk menghadapi cabaran persaingan yang lebih tinggi yang dibawa oleh arus liberalisasi dan globalisasi.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup