SC Umum Dua Inisiatif untuk Memacu Penerimaan Panduan Maqasid al-Syariah ICM

Pasukan petugas (task force) dilancarkan untuk menyelaraskan penggunaan Panduan

Kuala Lumpur, 26 Mei 2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan siri buku 40 Hadis mengenai kemampanan dan transaksi jualan beretika untuk menggalakkan pemahaman perspektif Islam lebih mendalam mengenai kemampanan dan etika Islam dalam urus niaga komersial.

Penerbitan tersebut yang dilancarkan semasa Nadwah Penasihat Syariah dalam pasaran modal Islam (ICM) SC ke-3 (SC Nadwah), bertujuan untuk meningkatkan kesedaran industri dan pelaksanaan praktikal.
 
Penerbitan siri buku itu merupakan titik penting dalam meningkatkan kesedaran industri mengenai penerapan prinsip-prinsip Panduan Maqasid Al-Syariah dalam ICM (Panduan), khususnya dalam bidang seperti penjagaan alam sekitar, perniagaan bertanggungjawab, dan amalan perdagangan.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, menghayati Panduan yang terkandung dalam hadis-hadis ini menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang adil, terangkum dan mampan.

"Lebih penting lagi, SC tekad untuk menjadikan Maqasid al-Syariah sebagai rangka kerja asas untuk urusan perniagaan dalam ICM," katanya.

“Apa yang kita saksikan hari ini adalah salah satu pendekatan ke arah memastikan produk dan perkhidmatan kewangan Islam direka dan dilaksanakan dengan cara yang menggalakkan kebajikan masyarakat dan alam sekitar,’’ tambahnya.

SC juga mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Maqasid al-Syariah untuk ICM (MaTF), yang akan memacu dan menyelaraskan penggunaan Panduan tersebut dalam ICM Malaysia. Ini termasuk mengenal pasti bidang untuk kerjasama strategik dan inovasi antara badan kawal selia dan pemain industri.

Anggota pasukan petugas itu termasuk Bursa Malaysia Berhad, Persatuan Pengurus Aset Malaysia (MAAM), Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM), Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), dan Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE).

Ditubuhkan pada 2023, SC Nadwah berfungsi sebagai platform pertemuan untuk wacana intelektual mengenai perkongsian pengetahuan Syariah gunaan dan melakarkan gelombang penyelesaian Syariah inovatif seterusnya dalam kalangan penasihat Syariah dan pengamal pasaran.

Edisi tahun ini mengumpul lebih 200 pemegang kepentingan daripada ekosistem penasihat Syariah, termasuk penggubal dasar, agensi kerajaan, ahli akademik, penasihat Syariah, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan pengamal kewangan Islam.

Penceramah yang hadir merupakan peneraju industri yang terkenal dalam kewangan Islam. Mereka termasuk ulama Syariah yang disegani Sheikh Dr. Nizam Yaquby dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah SC Profesor Dato’ Dr. Aznan Hasan.

Sheikh Dr. Nizam Yaquby, yang berkhidmat di lebih daripada 30 lembaga Syariah seluruh dunia, termasuk Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan Bank Pembangunan Islam (IDB), menyambut baik usaha SC dalam menganjurkan SC Nadwah.

Beliau berkata SC harus meneruskan inisiatif ini, yang menurutnya merupakan platform yang tidak ternilai untuk memupuk dialog strategik dan perkongsian pengetahuan dalam memajukan kewangan Islam dan dalam memudahkan pertumbuhan dan kesediaan industri untuk mengharungi cabaran masa depan.

Siri buku 40 Hadis kini boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/resources/publications-and-research.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup