“Susulan pandemik Covid-19, kita sedang menghadapi situasi yang belum pernah dialami sepanjang hidup kita. Ia memerlukan tindakan yang tepat yang mengambil kira kesan jangka masa yang lebih panjang terhadap pasaran dan pesertanya, melangkaui tempoh krisis ini,” kata Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.
Bercakap kepada para pemberita ketika pengumuman laporan tahunan SC bagi tahun 2019, Syed Zaid menambah, “Ketika dunia bersama memerangi darurat kesihatan awam ini, kami telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan pasaran terus beroperasi secara teratur, kerana akses kepada pembiayaan adalah penting untuk mengekalkan keyakinan dan memastikan pemulihan jangka panjang pasaran.”
Bantuan Kawal Selia Selanjutnya bagi PLCMemperakui bahawa syarikat-syarikat menghadapi kesukaran berikutan pandemik ini, SC mengumumkan bahawa Bursa Malaysia (Bursa) akan menyediakan pengecualian sementara kepada syarikat-syarikat tersenaraidi Pasaran Utama yang terkesan daripada pengklasifikasian Nota Amalan 17 (PN 17) berkaitan dengan kriteria berikut:
- Ekuiti pemegang saham penerbit tersenarai secara gabungan adalah sebanyak 25% atau kurang daripada modal saham (tidak termasuk saham perbendaharan) penerbit tersenarai dan ekuiti pemegang saham tersebut adalah kurang daripada RM40 juta
- Juruaudit telah mengetengahkan ketidakpastian penting yang berkaitan dengan usaha berterusan (going concern) atau menyatakan kelayakan terhadap kemampuan penerbit tersenarai untuk meneruskannya sebagai usaha berterusan dalam penyata kewangan teraudit terkini penerbit tersenarai dan ekuiti pemegang saham penerbit tersenarai yang disatukan adalah 50% atau kurang daripada modal saham (tidak termasuk saham perbendaharaan) penerbit tersenarai.
- Kegagalan dalam pembayaran oleh penerbit tersenarai, subsidiari utama atau syarikat bersekutu utamanya, mengikut keadaan, seperti yang diumumkan oleh penerbit tersenarai menurut perenggan 9.19A Keperluan Penyenaraian dan penerbit tersenarai tidak berupaya untuk memberikan pengisytiharan kesolvenan kepada Bursa.
Langkah-langkah ini akan memberikan syarikat-syarikat tersebut tempoh masa yang lebih panjang untuk mengatur kedudukan kewangan mereka. Bantuan sementara yang sama juga daripada pengklasifikasian Nota Panduan 3 yang juga disediakn oleh Bursa kepada syarikat-syarikat tersenarai di Pasaran ACE. Kelonggaran PN17 ini akan berkuat kuasa bermula 17 April 2020 sehingga 30 Jun 2020.
Lebih Banyak Akses kepada Pengumpulan Dana bagi Syarikat Lebih KecilSusulan peningkatan minat oleh PMKS untuk memanfaatkan saluran pengumpulan dana alternatif, SC hari ini juga telah memansuhkan had pengumpulan dana bagi platform Pendanaan Ramai Berasaskan Ekuiti (ECF), dan membenarkan platform ECF dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) menjalankan dagangan sekunder, kedua-duanya dengan serta-merta.
Bermula sekarang sehingga 30 September 2020, dana pelaburan bersama kerajaan MyCIF, yang ditadbir oleh SC, juga telah meningkatkan nisbah padanan pendanaannya daripada 1:4 hingga 1:2 bagi kempen-kempen ECF dan P2P yang layak, untuk memberikan kecairan tambahan dalam sektor pengumpulan dana alternatif.
Mempercepat Pendigitian Pasaran Modal
SC juga menggesa pihak industri mengambil peluang untuk mempercepat transformasi digitalisasi mereka dan menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan dalam talian kepada para pelabur kerana pengawal selia tersebut menyaksikan peningkatan ketara pembukaan akaun dalam talian baharu sejak beberapa bulan ini. Susulan kebiasaan baharu ini, SC akan mempercepat garis panduan untuk mengadakan mesyuarat agung secara maya. SC juga akan menyemak Peraturan Mengenai Pengambilalihan dan Percantuman untuk memudahcarakan e-perkhidmatan bagi dokumen dan pematuhan terhadap keperluan kawal selia bagi urus niaga pengambilalihan dan percantuman syarikat.
Pengawal selia tersebut juga berusaha untuk mengembangkan pelbagai penawaran produk industri pengurusan dengan memudahcarakan pengenalan skim pelaburan kolektif berasaskan wakaf dan pelaburan alternatif bagi dana borong, di mana aset-aset pendasarnya terdiri daripada harta tanah, emas atau ekuiti swasta.
Dengan mengambil kira bahawa situasi luar biasa memerlukan respon yang luar biasa, Syed Zaid mengatakan bahawa ini bukanlah urusan atau aturan menurut kebiasaan dan SC menggunakan pelbagai instrumen kawal selia untuk memberi sokongan kepada pasaran dan bantuan kepada para peserta pasaran.
Mengekalkan Integriti Pasaran dan Perlindungan Pelabur
Dalam pada pengawal selia ini melakukan yang semampunya untuk menyokong perniagaan, Syed Zaid berkata SC kekal tidak berganjak untuk memastikan kepentingan pelabur dilindungi ketika tempoh yang mencabar ini.
"Kami akan terus meningkatkan kesedaran pelabur terhadap penipuan, kerana para penipu akan menyasarkan orang ramai ketika keadaan yang tidak menentu ini. SC akan mengambil pendekatan bersasar untuk melindungi pelabur dan pemegang saham minoriti yang berpotensi menjadi mangsa. Saya juga ingin mengingatkan pengantara kami supaya terus berwaspada dan PLC agar sedar mengenai kewajipan mereka terhadap pemegang saham dan membuat penzahiran tepat pada masanya,” tegas beliau.
SC juga memberi jaminan kepada para pelabur bahawa pasaran modal Malaysia kekal dengan asas yang kukuh dan berfungsi secara teratur, disokong dengan kecairan domestik yang tinggi dan ditambah dengan pakej rangsangan Kerajaan, di tengah-tengah aliran keluar oleh bukan pemastautin.
"Selama bertahun-tahun, Malaysia telah menghadapi pelbagai krisis dan SC telah bekerjasama secara erat dengan industri ini untuk mengukuhkan pasaran modal dan memperbaiki kelemahan sistemik. Hasilnya, para penggiat pasaran dan institusi di Malaysia lebih bersiap sedia untuk menghadapi kesan buruk yang timbul daripada pandemik ini,” tambah Syed Zaid.
Ketika sistem kewangan sedang membuat penyelarasan terhadap kesan Covid-19, SC akan terus memantau situasi yang sedang berlaku dalam pasaran global dan domestik, dan mengatur tindakannya dan menyediakan kemas kini yang sewajarnya kepada orang ramai.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai langkah-langkah untuk mengekalkan integriti pasaran, sila layari
www.sc.com.my/covid-19 dan
www.sc.com.my/resources/publications-and-research/sc-ar2019