SC Umum Tiga Inisiatif Untuk Mendorong Inovasi

Inisiatif diumumkan pada Sidang Kemuncak Fintech SCxSC 2024

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memperkenalkan Sandbox Pengawalseliaan (regulatory sandbox) dan meningkatkan rangka kerja kawal selianya untuk menggalakkan tokenisasi sekuriti (securities tokenisation) untuk membantu merangsang inovasi dalam pasaran modal.

SC juga akan bekerjasama dengan Khazanah Nasional untuk menerokai terbitan bon token.

Tiga inisiatif itu, yang diumumkan pada Sidang Kemuncak Fintech SCxSC 2024 bermula hari ini, bertujuan untuk menggalakkan inovasi bertanggungjawab dalam pasaran modal negara. Kira-kira 1,000 orang menghadiri sidang kemuncak dua hari itu.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata SC komited untuk memupuk ekosistem fintech yang berkembang maju dalam pasaran modal.

“SC mengambil pendekatan holistik dalam memacu inovasi dalam pasaran modal. Melalui inisiatif seperti regulatory sandbox dan SCxSC, kami menggalakkan eksperimentasi dalam industri dan memupuk kerjasama dengan ekosistem yang lebih luas,” katanya.

Menyedari kemajuan teknologi yang pesat, SC telah menerima beberapa cadangan yang tidak bersesuaian untuk dimasukkan dalam rangka kerja pengawalseliaan sedia ada.

Untuk menangani perkara ini, SC memperkenalkan rangka kerja regulatory sandbox, yang dapat menyediakan persekitaran terkawal untuk menguji produk dan perkhidmatan inovatif sambil memastikan perlindungan pelabur.

Syarikat yang membangunkan penyelesaian dalam bidang seperti keterangkuman kewangan, kewangan Islam dan penyelesaian persaraan digalakkan untuk memohon.

Sandbox ialah sebuah usaha kawal selia untuk meningkatkan dasar bagi memastikan kesesuaian tujuannya. Sebagai contoh, ia mungkin membenarkan tawaran token yang inovatif diuji dalam sandbox, selaras dengan usaha SC untuk membangunkan pendekatan agnostik teknologinya untuk sekuriti token dan mengenal pasti amalan terbaik.

Dalam hal ini, SC akan membangunkan panduan awal pada tahun depan untuk syarikat pengantara memahami dan mengurus risiko berkaitan tokenisasi sekuriti.
Syarikat mempunyai masa sehingga April 2025 untuk memohon kohort pertama Sandbox.

Pihak yang berminat dikehendaki mengambil bahagian dalam sesi pra-perundingan sebelum permohonan. Sesi ini tersedia serta-merta, dan pihak yang berminat boleh memulakan penglibatan dengan menghantar e-mel ke [email protected].

Permohonan yang diterima akan mempunyai masa sehingga 12 bulan untuk menguji produk atau perkhidmatan mereka.

Kriteria kelayakan termasuk menawarkan produk atau perkhidmatan pasaran modal inovatif yang tidak tersedia pada masa ini di Malaysia dan secara keseluruhannya tidak bersesuaian untuk ditetapkan di bawah rangka kerja kawal selia sedia ada yang membawa nilai kepada pasaran.

Di samping itu, SC bekerjasama dengan Khazanah Nasional sebagai bakal penerbit untuk meneroka bagaimana teknologi blockchain boleh meningkatkan kecekapan penerbitan dan operasi bon. Inisiatif ini meneroka penggunaan kontrak pintar dan pengaturan penjagaan.

Edisi Sidang Kemuncak Fintech SCxSC tahun ini memberi fokus pada kes penggunaan dan peluang teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan rantaian blok dalam pasaran modal.

Sejak 10 tahun lalu, Sidang Kemuncak ini telah menjadi platform untuk komuniti fintech mengadakan penglibatan, membina hubungan rangkaian dan meneroka peluang yang tersedia oleh fintech.

Maklumat disampaikan melalui demonstrasi canggih, sidang meja bulat, pameran, ucaptama dan perbincangan panel.

Sidang Kemuncak Fintech SCxSC 2024 juga menampilkan Hari Demo program SC FIKRA ACE Accelerator1, di mana 10 syarikat pemula merebut peluang untuk dipilih sebagai pemenang kohort 2024.

SCxSC sejajar dengan agenda inovasi SC yang lebih luas untuk memanfaatkan teknologi, menyokong objektif Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) untuk memangkin pertumbuhan ekonomi, memperkasakan pelabur dan mempromosikan pemegang kepentingan yang mampan dan inklusif.

  1. Program Accelerator ini adalah lanjutan daripada SC FIKRA ACE, inisiatif tiga tahun yang bertujuan untuk memajukan Pasaran Modal Islam (ICM) melalui penyelesaian teknologi kewangan Islam yang inovatif. Program intensif 8 minggu FIKRA ACE Accelerator merangkumi bimbingan, sokongan akses dan keterlihatan pasaran, dan penglibatan dengan SC untuk panduan kawal selia. Kohort 2024 dianjurkan dengan kerjasama rakan pemecut NEXEA dan rakan ekosistem Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Bank Pembangunan Islam (IsDB).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup