Pada 30 September 2002, WTHB, sebuah syarikat PN4, telah mengemukakan kepada SC cadangan bagi skim tersebut, seperti mana yang dikehendaki di bawah Seksyen 176 Akta Syarikat (CA) 1965. Kelulusan yang diminta daripada SC adalah, pada sepanjang masa, tertakluk kepada WTHB mendapatkan, antara lain, kelulusan pemegang sahamnya ke atas skim tersebut. SC telah memberikan kelulusan bagi skim tersebut pada 2 Januari 2003.
Di bawah skim tersebut, WTHB dikehendaki mendapatkan kelulusan pemegang sahamnya bagi cadangan-cadangan berikut:
- cadangan pertukaran saham antara pemegang sahamnya dengan JAKS Resources Berhad (penyelamat)
- penjualan tanah oleh WTHB kepada JAKS Resources pada bayaran pembelian sebanyak RM75 juta
- penjualan Wing Tiek Steel Pipe Sdn. Bhd. oleh WTHB kepada JAKS Resources Berhad
Walau bagaimanapun, kesemua cadangan di atas telah ditolak di mesyuarat pemegang saham yang diadakan pada 24 September 2003.
Walaupun cadangan WTHB telah ditolak, pihak SC kemudiannya mendapati satu Perintah Persetujuan telah direkodkan pada 5 Disember 2003 dalam satu tindakan yang dimulakan oleh dua pemegang saham WTHB terhadap WTHB dan dua pemegang saham WTHB yang lain. Tindakan tersebut telah mengubah keputusan undian yang dibuat ketika mesyuarat pemegang saham pada 24 September 2003. Perintah Persetujuan tersebut kemudiannya digunakan sebagai dasar untuk mendapatkan Perintah Mahkamah yang membenarkan skim tersebut di bawah Seksyen 176 CA.
Hak Pemegang Saham dan Tadbir Urus Korporat
Kebimbangan SC adalah berasaskan tindakan penolakan terdahulu oleh pemegang saham di mesyuarat yang dijalankan secara sah kemudiannya diubah oleh persetujuan persendirian di kalangan sekumpulan pemegang saham tertentu. Perkara-perkara yang terkandung dalam skop mesyuarat pemegang-pemegang saham hanya boleh diputuskan oleh mereka sendiri dan keputusan pemegang saham di mesyuarat yang diadakan secara sah tidak boleh dipertikaikan.
Dalam kes WTHB, oleh kerana kehendak pemegang-pemegang saham WTHB adalah untuk menolak resolusi yang dicadangkan, maka tidak terdapat suatu kelulusan pemegang saham yang sah. Perintah Persetujuan di kalangan beberapa pemegang saham yang direkodkan selepas mesyuarat pemegang saham tidak boleh menukar, secara satu pihak, penolakan terdahulu oleh pemegang-pemegang saham kepada keputusan ahli-ahli yang sama untuk meluluskan resolusi tersebut.
Kebalikan keputusan sedemikian dengan tidak mengambil kira undian yang telah dibuat, menggugat asas utama sistem tadbir urus syarikat - pelaksanaan hak pemegang saham.
Keputusan ke atas WTHB
Untuk memudahcarakan skim penyusunan semula tersebut dan mengambil kira bahawa perkara yang berkaitan dengan skim tersebut adalah terletak kepada pemegang-pemegang saham WTHB, SC telah melanjutkan tempoh bagi WTHB untuk melaksanakan skim tersebut, dengan syarat WTHB kembali semula kepada pemegang sahamnya untuk mendapatkan kelulusan mereka bagi resolusi yang dicadangkan.