Persidangan Mekanisme Pembiayaan Infrastruktur ASEAN itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Persidangan tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) di bawah naungan Pasukan Petugas Mekanisme Pembiayaan Infrastruktur ASEAN (AIFM). Lebih 200 wakil kanan kerajaan Pasukan Petugas AIFM dari 10 negara anggota ASEAN dan para pemimpin industri penting menghadiri persidangan tersebut.
Majlis penutup persidangan kali pertama tersebut telah dilakukan oleh YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan II Malaysia, yang berkata persidangan AIFM itu adalah tepat pada masanya berikutan krisis kewangan global pada masa ini.
“Persekitaran ekonomi untuk maju ke hadapan akan lebih mencabar. Oleh itu, kita di ASEAN mestilah bersedia untuk mencari kaedah baru bagi memupuk kerjasama serantau yang lebih erat untuk menggalakkan pembiayaan pembangunan infrastruktur di ASEAN,” kata Tan Sri Nor ketika ucapan penutup beliau, yang disampaikan oleh YB Dato’ Haji Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan 1.
Sementara itu, Pengerusi SC Dato’ Sri Zarinah Anwar menegaskan kepentingan pasaran modal serantau sebagai sumber utama bagi pembiayaan projek infrastruktur.
“Pasaran modal serantau boleh menjadi sumber pembiayaan yang penting dengan memupuk keyakinan pelabur terhadap kebolehpercayaan penzahiran pendedahan risiko aset pendasar, melalui penggalakan tadbir urus dan pengurusan risiko yang baik, pemakaian standard dan amalan terbaik yang tinggi, dan dalam integriti pasaran kita,” kata Dato’ Sri Zarinah dalam ucapan alu-aluan beliau.
Ketua Setiausaha ASEAN Dr Surin Pitsuwan, dan Thirachai Phuvanatnaranubala, Ketua Setiausaha Securities & Exchange Commission of Thailand, dan Pengerusi Forum Pasaran Modal ASEAN juga berucap di persidangan itu.
Dalam ucapan khas makan tengah hari, Dr Surin bercakap mengenai keperluan bagi akses pasaran modal dan aliran modal antarabangsa bagi membantu memudahcarakan pengantaraan serantau adalah penting bagi pembangunan infrastruktur.
“Walaupun ASEAN telah berjaya menyalurkan sebahagian tabungannya kepada pembangunan infrastruktur, keperluan bagi infrastruktur yang besar adalah melebihi sumber yang tersedia dalam rantau ini. Adalah dianggarkan jumlah kekurangan pembiayaan infrastruktur di Asia, termasuk ASEAN, secara purata adalah kira-kira AS$420 bilion sepanjang tempoh 2006-2015,” kata Dr Surin.
Peserta yang menghadiri persidangan satu hari tersebut mendengar perbincangan pakar global mengenai pembiayaan infrastruktur dan amalan terbaik lain dalam pembangunan infrastruktur. Para pembentang termasuk antara lain, pegawai kanan dari Sekretariat ASEAN, Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia, ADB Institute dan Infrastructure Leasing & Financial Services of India.
Pasukan Petugas AIFM, yang dipengerusikan oleh Malaysia, ditubuhkan oleh Menteri Kewangan ASEAN pada 2006 untuk mewujudkan persekitaran yang lebih memudah cara bagi pembangunan dan pembiayaan infrastruktur di rantau ini, termasuk menggalakkan pembabitan sektor swasta serantau dan global dalam projek infrastruktur serantau.
Pasukan Petugas tersebut juga bertujuan memperkukuh hubungan antara pembiayaan infrastruktur dan pasaran modal di rantau ini ke arah menggalakkan lebih banyak integrasi dalam kalangan pasaran modal serantau sejajar dengan wawasan Komuniti Ekonomi ASEAN.