Menyedari keperluan supaya sentiasa bersesuaian dengan persekitaran ekonomi yang berdaya saing, Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), bahagian latihan dan pendidikan Suruhanjaya Sekuriti akan menganjurkan satu seminar untuk mengkaji penggunaan instrumen kewangan Islam dan membincangkan bagaimana instrumen tersebut boleh membantu mempergiat pasaran ekuiti dan bon.
Seminar bertajuk, "
Pelaburan & Instrumen Pembiayaan Islam - Penyelesaian Inovatif bagi Pasaran Modal" akan diadakan pada 3 & 4 Oktober 2005 di Suruhanjaya Sekuriti di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Seminar ini akan memberikan tinjauan arah aliran dan perkembangan terkini dalam pasran modal Islam di peringkat global dan tempatan. Ia juga akan menyentuh prinsip sandaran asas teori kewangan Islam dan undang-undang komersial Islam serta rangka kerja kawal selia dan perundangannya.
Topik menarik lain yang akan diperbincangkan termasuk strategi pelaburan untuk memilih sekuriti yang diluluskan syariah, indeks syariah, memahami keperluan Garis Panduan Sekuriti Islam, pengecualian dan insentif percukaian, serta Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Islam. Para peserta juga akan mendapat gambaran jelas daripada perbincangan kes-kes kajian pada akhir seminar tersebut serta maklumat terkini mengenai pasaran modal serta kemas kini daripada para pembuat keputusan dan penggubal dasar.
Seminar tersebut adalah sesuai untuk dihadiri oleh mereka dari bank-bank saudagar, pengurus-pengurus dana dan aset, penasihat Syariah berdaftar, penganalisis penyelidikan, penasihat pelaburan, pengurus kewangan korporat, serta ahli akademik. Peserta pasaran yang lain serta orang ramai juga digalakkan untuk hadir. Seminar ini diakreditasi CPE SIDC dan memberikan 10 mata CPE.
Yuran pendaftaran ialah RM750 seorang. Untuk maklumat lanjut atau pendaftaran, sila hubungi Khidmat Korporat SIDC di talian: 03-6204 8667 atau layari tapak web SC di sini.