Semua PLC Perlu Adakan Mesyuarat Agung secara Hibrid atau Fizikal Mulai 1 Mac 2025

Kuala Lumpur, 30 Ogos 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad hari ini mengumumkan bahawa semua syarikat awam tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia perlu mengadakan mesyuarat agung secara hibrid atau fizikal mulai 1 Mac 2025..

Semasa tempoh pandemik COVID-19, PLC dibenarkan menjalankan mesyuarat agung secara maya. Walau bagaimanapun, meskipun pandemik telah berakhir, lebih daripada 50% PLC didapati masih menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) secara maya sepenuhnya pada separuh pertama 2024.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata walaupun mesyuarat secara maya mencapai matlamatnya semasa pandemik, sudah tiba masanya untuk PLC beralih kepada format mesyuarat secara hibrid atau fizikal.

"Mesyuarat pemegang saham, terutamanya AGM, adalah sesi penting untuk melibatkan lembaga pengarah dan pengurusan," katanya. “Pelabur domestik dan antarabangsa juga telah menyatakan keutamaan mereka untuk menjalankan mesyuarat secara hibrid atau fizikal. Ini dapat memperkukuh tadbir urus yang baik dengan menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti.”

Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia berkata, “Bursa menyokong penuh pendekatan secara hibrid kerana ia mencapai keseimbangan tepat antara kebolehcapaian dan penglibatan. Dengan pimpinan melalui teladan, kami memastikan kebolehcapaian dan keterangkuman yang lebih luas untuk semua pemegang saham, dalam memupuk kepercayaan dan perbincangan yang lebih menarik."

Mesyuarat secara fizikal memelihara ketelusan hak pemegang saham dan memastikan tiada yang dikecualikan yang disebabkan oleh halangan teknologi. Walaupun penyertaan secara maya meningkatkan kebolehcapaian, PLC harus berusaha untuk mengadakan mesyuarat agung secara hibrid atau sekurang-kurangnya secara fizikal. Ini dapat memastikan penglibatan yang lebih bermakna oleh pemegang saham, melindungi hak pemegang saham, dan menegakkan integriti proses mesyuarat agung,” tambahnya.

Keperluan ini akan digunapakai untuk semua mesyuarat agung PLC di Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia yang akan diadakan mulai 1 Mac 2025.
Bursa Malaysia akan memberikan butiran lanjut dalam masa terdekat.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
BURSA MALAYSIA BERHAD

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup