SIDC menganjurkan seminar pasaran modal bagi hakim-hakim di Malaysia

Kuala Lumpur, 4 September 2001

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) telah menganjurkan seminar pasaran modal Malaysia bagi badan kehakiman Malaysia pada 3-5 September di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur. Seminar tertutup tersebut, yang dianjurkan atas permintaan Ketua Hakim Malaysia, telah memberikan peserta seminar gambaran terhadap perkembangan pasaran modal Malaysia. Seminar tersebut dihadiri oleh 42 peserta termasuk hakim mahkamah persekutuan, hakim mahkamah rayuan, hakim-hakim mahkamah tinggi dan sesi.

Objektif seminar tiga hari tersebut adalah bagi mewujudkan kesedaran mengenai arah aliran meluas yang menentukan perkembangan pasaran modal, khususnya cabaran dan implikasi terhadap pasaran sekuriti Malaysia. Perkembangan pasaran modal, kemajuan teknologi serta inovasi mendadak membawa kepada kaedah yang sofistikated dalam melaksanakan urus niaga sekuriti dan persekitaran yang lebih meluas di mana pasaran modal beroperasi sekarang.

Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Hakim Yang Amat Arif Tan Sri Dato' Seri Mohamed Dzaiddin Hj Abdullah, berkata bahawa walaupun sekarang tiada struktur formal latihan kehakiman, beliau percaya bahawa terdapat keperluan yang meningkat bagi para hakim dan pegawai kehakiman untuk sentiasa dimaklumkan mengenai isu-isu semasa dan yang menjadi topik utama.

"Seminar tiga hari ini akan membantu kita mengupas asas-asas pasaran modal dalam bentuk kasar, bukan dalam bentuk ringkasan. Ini amat membantu untuk memahami rumusan teknikal yang tinggi yang membentuk sistem pasaran modal keseluruhannya" beliau berkata.

Seminar tersebut merangkumi perkara-perkara seperti rangka kerja pengawalseliaan pasaran sekuriti Malaysia dan pembaharuan pasaran terkini, Pelan Induk Pasaran Modal dan rangka kerja perlaksanaannya, inisiatif-inisiatif dan perkembangan terkini dalam hal-hal tadbir urus korporat, pengawalseliaan pasaran utama dan aktiviti pengambilalihan dan percantuman di Malaysia, peserta-peserta penting pasaran ekuiti Malaysia dan aspek-aspek operasi, perhubungan antara syarikat-syarikat broker saham dan pelanggan mereka dan kesalahan-kesalahan sekuriti di pasaran utama dan sekunder Malaysia.
Bagi memudahkan platform yang berkesan bagi pertukaran maklumat dan perkongsian program tersebut, pihak SIDC telah menjemput Securities Futures Commission (SFC) di Hong Kong dan Australian Securities Investment Commission (ASIC) untuk berkongsi pengalaman mereka dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab pengawalseliaan, khususnya dalam bidang pembaharuan dan penguatkuasaan pengawalseliaan.

SIDC merupakan pusat pendidikan, latihan dan sumber maklumat Suruhanjaya Sekuriti. Seminar tersebut ialah sebahagian daripada usaha SIDC bagi memaklumkan peserta pasaran dan para pelabur mengenai perkembangan dalam pasaran modal dan perubahan-perubahan dalam undang-undang sekuriti.

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup