Majlis tandatangan tersebut telah disaksikan oleh Perdana Menteri dari kedua-dua negara, Yang Berhormat Atal Bihari Vajpayee dan Y.A.B. Dato Seri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya awal hari ini. MOU tersebut menandakan keperluan kerjasama yang lebih erat antara India dan Malaysia bagi mengawasi dan membangun pasaran sekuriti dan niaga hadapan secara berkesan, memandangkan dagangan melepasi sempadan dan hubungan antara pasaran yang semakin meningkat yang dibawa oleh proses globalisasi pasaran kewangan.
Menurut MOU tersebut, kedua-dua pengawal selia memperakui kepentingan penyediaan bantuan dan pertukaran maklumat untuk membantu satu sama lain dalam memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan di negara masing-masing. Skop Memorandum tersebut termasuk menyediakan bantuan dan mengambil tindakan terhadap dagangan dalaman, manipulasi pasaran dan salah laku lain dalam dagangan sekuriti. Pertukaran maklumat itu juga bertujuan menggalakkan standard yang tinggi bagi dagangan dan integriti dalam tata laku perniagaan. Pada dasarnya, penandatanganan MOU tersebut akan membantu dalam melindungi kepentingan peserta pasaran dan memastikan pembangunan pasaran sekuriti dan niaga hadapan yang adil dan teratur bagi kedua-dua negara.
Pengerusi SC, Encik Ali Abdul Kadir berkata bahawa kerjasama Selatan-Selatan adalah penting bagi pertukaran maklumat, tatacara dan kemahiran di kalangan negara-negara Selatan.
"Internasionalisasi pasaran sekuriti yang semakin meningkat telah mewujudkan cabaran baru bagi rantau ini. Sebagai pengawal selia, kita mesti berpadu tenaga bagi memastikan bahawa terdapat perlindungan yang secukupnya bagi para pelabur dalam pasaran yang sentiasa berubah-ubah," kata beliau.
Ini merupakan MOU ketiga belas yang telah ditandatangani oleh SC bersama rakan sejawatannya. SC sebelum ini telah menandatangani MOU bersama pengawal selia pasaran di Argentina, Australia, Brazil, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Kenya, Perancis, Afrika Selatan, Taiwan dan Thailand.