Tinjauan menunjukkan sokongan pasaran terhadap DBR

Kuala Lumpur, 27 September 2002

Dapatan daripada satu tinjauan menunjukkan bahawa peserta pasaran di Malaysia umumnya menyokong pelaksanaan pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR).

DBR merupakan pendekatan kawal selia berasaskan pasaran yang memberi tumpuan kepada kualiti maklumat yang diberikan oleh para penerbit apabila mereka menerbitkan, menawarkan atau menyenaraikan sekuriti untuk membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat. Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah melaksanakan DBR secara progresif sejak tahun 1996 bawah satu program tiga fasa yang mana proses penilaian cadangan korporat bagi terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti diliberalisasikan secara berperingkat-peringkat di samping mengekalkan standard kawal selia.

SC mensasarkan untuk melaksanakan fasa terakhir program DBR pada awal tahun hadapan. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pasaran Modal, pelaksanaan penuh DBR akan dijalankan, secara sebahagian, berpandukan satu penilaian mengenai kesediaan pasaran oleh SC. Untuk tujuan ini, SC telah melantik jururunding luar pada tahun 2001 untuk menjalankan satu tinjauan untuk menilai kesediaan peserta pasaran modal bagi fasa terakhir DBR.

“Tinjauan itu menunjukkan bahawa peserta pasaran sangat maklum dan menyokong DBR sebagai kaedah pengawalseliaan,” kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

Rangkuman dan dapatan utama tinjauan itu boleh didapati di sini.

Tinjauan itu disasarkan kepada kesemua pemain utama pasaran iaitu syarikat awam tersenarai, kumpulan institusi (pelabur institusi, penganalisis, pihak media) dan para penasihat (bank saudagar, penasihat undang-undang, akauntan, jurunilai).

“Pasaran nampaknya agak bersedia dengan rejim berasaskan penzahiran. Tahap kesediaan pasaran akan diambil kira dalam mempertingkatkan lagi rangka kerja DBR,” kata Datuk Ali.

Walaupun peserta pasaran merasakan bahawa ia membabitkan beberapa kos, seperti kos pematuhan yang lebih tinggi, dalam pelaksanaan DBR, mereka juga beranggapan bahawa terdapat manfaat yang besar diperolehi daripada persekitaran DBR. Pasaran menyatakan proses kelulusan yang lebih cepat, akses yang lebih besar kepada dana, lebih ketelusan, tadbir urus korporat dan kualiti penzahiran yang lebih baik serta memberikan lebih perlindungan kepada pelabur sebagai beberapa manfaat yang diperolehi daripada DBR.

“Kesimpulannya, para responden percaya manfaat daripada DBR melebihi kos-kos yang terlibat,” kata Datuk Ali.

Beliau berkata bahawa dalam persiapan bagi pelaksanaan fasa terakhir DBR, SC telah mengeluarkan satu kertas perundingan kepada pelbagai badan dan persatuan industri. Maklum balas daripada badan/persatuan ini juga akan diambil kira dan dimasukkan yang mana perlu ke dalam rangka kerja DBR.

Pada 23 September 2002, SC telah mengadakan dialog tertutup bersama peserta pasaran untuk membincangkan rangka kerja bagi fasa terakhir DBR.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup