Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Penceramah Utama, Dr. Yousof Abdulla Al-Qaradawi serta hadirin sekalian.
Pendahuluan
Bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti, saya ingin mengucapkan terima kasih ke atas kehadiran tuan puan hari ini bagi upacara perasmian Persidangan Pasaran Modal Islam Antarabangsa yang pertama diadakan di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, minat dan sokongan daripada tuan puan amat menggalakkan. Kami percaya tuan puan akan mendapati program dua hari ini berguna bagi menyatukan pelbagai pandangan dalam usaha membangunkan pasaran modal Islam di Malaysia, dengan mengambil kira pengalaman yang lalu, dan keperluan-keperluan pasaran tersebut bukan hanya untuk masa kini tetapi juga bagi masa hadapan.
Kepada tetamu asing, kami ucapkan selamat datang ke Malaysia dan harap lawatan tuan puan tidak hanya memberi manfaat, tetapi tuan puan dapat membawa balik kenangan manis dan akan melawat kami lagi di lain masa.
Islam dan pembangunan pasaran modal
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebagai usaha awal ke arah menganjurkan Persidangan ini, kakitangan Suruhanjaya telah membuat suatu kajian mengenai sumber bertulis yang wujud sejak 25 tahun lalu mengenai topik membangunkan modal pasaran Islam. Kami terpegun dengan pertukaran yang ketara dan positif dalam perkara yang telah dibincang, dan cara ia disampaikan. Sementara sumbangan awal menjurus kepada pembinaan teori, dan aspek dogma secara meluas, sumbangan terbaru mempunyai pendekatan yang lebih praktik dan pragmatik. Penulis terbaru lebih cenderung kepada penghuraian instrumen tertentu yang telah dicipta, institusi-institusi yang telah ditubuhkan, atau perantara-perantara yang menawarkan produk baru dari segi Syari'ah.
Peralihan ini daripada yang umum kepada yang lebih khusus menampakkan kesanggupan peserta pasaran untuk menghuraikan asas-asas suatu pasaran modal Islam secara cekap dan sistematik berserta komitmen/perantara menawarkan produk dan perkhidmatan yang boleh diterima oleh pelabur. Sesungguhnya, saiz dan kedalaman produk pasaran modal Islam yang ditawarkan oleh pusat-pusat seperti London amat membanggakan. Beberapa penjana kewangan antarabangsa di antaranya, termasuk yang hadir pada hari ini, telah menumpukan keseluruhan organisasi kepada usaha-usaha penerbitan dan pengedaran sekuriti dan produk kewangan Islam.
Suatu arah-aliran yang berkaitan ialah kajian terbaru tidak lagi bersifat 'apologetik' sebaliknya lebih menjurus kepada isu dan keperluan semasa. Ini merupakan perkembangan yang memberangsangkan. Walaupun adalah perlu bagi kita mengiktiraf asas-asas yang terdahulu kepada instrumen pasaran modal Islam yang moden, adalah jelas bahawa Quran, Sunnah Rasullullah s.a.w. dan metodologi fiqh adalah sesuatu yang tak lekang dek zaman dan ianya relevan pada hari ini sebagai mana ianya relevan di zaman Nabi dan sahabat.
Pada pandangan saya, perkembangan yang positif ini telah berlaku melalui suatu proses penyatuan dan persenyawaan silang di antara pandangan di antara ilmuan fiqh di satu pihak dan pengamal pasaran di satu pihak lagi. Jika pengalaman kami di Malaysia boleh digunakan sebagai kayu ukur, saya perlu menegaskan bahawa kami dalam membangunkan suatu pandangan dan objektif yang bersepadu dan pandangan duniawi yang umum - suatu tassawur; daripada ad-din al-fitrah, masih berada di suatu peringkat awal pembangunan. Oleh itu, janji Islam sebagai suatu rahmat kepada semua manusia, berkaitan dengan petunjuk mengenai pasaran modal, masih perlu diperkembangkan dengan sepenuhnya. Masih banyak yang kami perlu lakukan dalam usaha mencipta instrumen pasaran modal, perantara dan institusi Islam dan mendidik pelabur akan manfaat pasaran modal Islam. Tetapi asas yang kukuh telah wujud, dan banyak kerja-kerja penerokaan awal telah di jalankan di segmen lain dalam industri kewangan seperti perbankan Islam. Oleh itu saya yakin lebih banyak langkah-langkah positif boleh diharapkan akan berlaku.
Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti telah diletakkan di dalam kedudukan istimewa di antara pemikiran dua aliran iaitu pakar undang-undang Islam yang menawarkan pengetahuan mereka mengenai fiqh muamalat, dan pengamal pasaran yang dapat menyumbang mengenai keperluan pasaran yang moden. Melalui aktiviti-aktiviti Kumpulan Kajian Instrumen Islam (IISG), yang dipengerusikan oleh Y Bhg Sohibus Samahah Datuk Sheikh Azmi, Mufti Pulau Pinang, di mana lapurannya akan dibentangkan oleh beliau pada pagi ini, suatu proses komunikasi dan pertukaran telah bermula dan saya berani mengatakan bahawa semua pihak yang terlibat telah banyak mendapat faedah dari interaksi ini.
Di pihak kami, Suruhanjaya Sekuriti sendiri adalah komited untuk membina kemahiran dalam fiqh, bukan bertujuan menggantikan kemahiran pakar undang-undang Islam yang kami sentiasa sanjung dan meminta nasihat mengenai aspek hukum Islam tetapi bagi membolehkan kakitangannya memahami tahap pengetahuan yang mendalam dan ketelitian yang diberi oleh fiqh pada prinsip-prinsip utama pengawalselian dan pembangunan pasaran. Sebagai contoh, konsep dalam menstruktur urusniaga hadapan atau pembayaran tertangguh adalah tersangat terperinci dalam fiqh sehingga kami seringkali menghadapi kesukaran untuk mencari terma yang sama atau sesuai dengan '
common law'.
Dengan berpandukan kefahaman baru mengenai proses dan metodologi fiqh dan Sunnah Rasullullah (s.a.w), ilmuan moden dan peserta pasaran tidak lagi perlu merasakan bahawa mereka hanya berada dalam kedudukan yang hanya kedua terbaik. Sebaliknya mereka harus, secara berani menggunakan kearifan sepanjang zaman untuk merencanakan secara realistik satu pelan untuk mewujudkan satu sistem yang akan membawa rahmat bukan sahaja kepada umat Islam tetapi kepada manusia sejagat.
Ke arah Kepelbagaian Instrumen Islam
Tradisi keilmuan Islam yang begitu kaya telah mewujudkan pelbagai instrumen pasaran modal. Kita akan dapati instrumen yang selaras dengan ekuiti dan aset tetap serta derivatif seperti opsyen dan pasaran hadapan. Kajian sepintas lalu penulisan
Ibnu Khaldun khasnya dalam karya ulung beliau
Muqaddimah adalah mencukupi untuk kita menyedari betapa luas dan dalamnya urusniaga ekonomi yang telah dikaji dan dinilai oleh ilmuan zaman lampau.
Bukan sahaja telah wujud kepelbagaian instrumen pasaran modal Islam tetapi penggunaan instrumen sedemikian dalam situasi yang pelbagai juga adalah ketara. Misalnya konsep
bai' al-dayn, satu konsep yang amat subur di dalam era pengsekuritian. Konsep ini bukan sahaja membolehkan bank menyesuaikan portfolio aset mereka, ianya juga berkemungkinan digunakan dalam pembiayaan infrastruktur dan pengsekuritian aset. Dengan rendah hati kita dapati bahawa bagi satu instrumen ini sahaja kita hanya mengenali sebahagian kecil sahaja dari potensi yang ada pada konsep ini.
Ke arah kepelbagaian perantara dan pelabur Islam
Seperti juga kepelbagaian instrumen Islam yang berguna, Islam juga mengakui kewujudan pelbagai perantara dan pelbagai peranan yang boleh mereka mainkan dalam pasaran modal. Kita semua terhutang budi kepada
Yang Arif Hakim Mohamad Taqi Usmani, yang akan menyertai perbincangan panel pada hari ini, kerana telah menunjukkan kepada kita kerelevanan prinsip tanggungan terhad (
limited liability) dari pandangan Syariah. Penerimaan konsep
juridical person dalam ajaran Islam adalah asas bagi perantara dan pelabur. Seperti yang telah diperkatakan oleh Hakim Mohamad Taqi, sesetengah institusi Islam yang telah wujud dan terkenal kepada kita semua seperti Wakaf dan Baitulmal, adalah contoh
juridical person.
Setelah mengesahkan asas bagi kewujudan perantara dan pelabur, peranan mereka telah juga diterima. Mengenai perkara ini, kita harus mendalami perbezaan di antara riba dan urusniaga sah, yang telah dibezakan secara jelas dalam Al-Quran. Dalam bahagian akhir Ayat 275
Surah Al-Baqarah;
"Padahal Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba) maka lazimnya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya."
Begitu juga Nabi Muhammad (s.a.w) telah berkata :
"tiada riba kecuali dalam nasiah"
Mungkin saya mengulangi perkara lama, tetapi konsep riba ialah kunci bagi memahami konsep-konsep pelaburan, pelabur dan perantara dalam prasarana pasaran modal Islam. Sebagai permulaan, peranan perantara dan pelabur dalam memainkan aktiviti yang melibatkan risiko adalah jelas. Pada asasnya, larangan Islam ke atas
riba al-nasiah melarang penentuan pulangan tetap sebelum hasil sesuatu urusniaga di ketahui. Setelah mewujudkan pertalian pokok di antara risiko dan pulangan, fiqh seterusnya menjelaskan prinsip yang mendasari cara risiko dan pulangan boleh diagihkan di kalangan perantara dan pelabur.
Ilmuan fiqh juga telah menyerlahkan satu lagi aspek riba iaitu
riba al-fadl. Perantara dalam menjalankan aktiviti mereka, di larang mengeksploitasi dan menjalani urusniaga yang tidak adil. Terdapat hadith di mana Rasullullah s.a.w. telah menyamakan penipuan peserta pasaran yang tidak sofistikated dan perbuatan memanipulasi pasaran dengan riba al-fadl. Oleh itu dalam ruang lingkup tafsiran konsep riba sahaja, terdapat pati bagi perilaku pelabur dan pelaburan, dan juga panduan yang jelas bagi peserta pasaran mengenai apa yang dianggap perilaku pasaran yang boleh diterima.
Ke arah prasarana institusi Islam
Islam bukan sahaja telah memberi petunjuk bagi merumuskan instrumen dan bagi mengawal perilaku peserta pasaran, ia juga telah memberi petunjuk bagi pembangunan prasarana institusi. Mengenai perkara ini,
Prof. Khurshid Ahmad, bekas Menteri Perancangan dan Pembangunan Pakistan, telah membuat penelitian berikut:-
Sumbangan utama Islam ialah dalam memberi tujuan dan nilai kepada kehidupan manusia. Transformasi yang Islam ingin lakukan ialah dalam sikap manusia dan pari passu dalam sains sosial ialah untuk mengalihkan mereka dari satu kedudukan
'pseudo-value-neutrality ke arah 'open and manifest value-commitment and value fulfilment'.Nilai-nilai yang positif bukan sahaja menggambarkan intergrasi nilai-nilai Islam dalam mewujudkan institusi tetapi juga kepada ajaran yang kita semua perlu patuhi - nilai-nilai sosial
al-adl wal ihsan. Penwujudan institusi Islam bukan semata-mata berkenaan penghapusan riba; ia juga menggariskan pembentukan satu rangka yang telus, efisyen, adil dan samarata. Rangka sebegini semestinya relevan kepada isu-isu semasa. Setakat mana ilmuan di zaman klasikal telah mengorbankan masa dan usaha ke arah penyelesaian isu-isu di zaman mereka, ilmuan dan pengamal pasaran di zaman itu juga semestinya berusaha untuk berbuat demikian.
Pengalaman Malaysia
Hadirin sekalian,
Melalui aktiviti IISG, Suruhanjaya Sekuriti telah dapat memahami secara lebih mendalam arah tujuan pembangunan pasaran modal Islam di Malaysia. Setakat mana pengalaman kami adalah relevan, kami dengan rendah hati sanggup berkongsi pengalaman dan penemuan sedemikian dengan negara-negara Islam lain dengan harapan agar kita dapat mempelajari dari satu sama lain. Kami terbuka kepada sebarang rancangan untuk bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang mempunyai minat yang serupa. Ini bukan bererti bahawa kami menganggap pengalaman kami sebagai contoh terbaik bagi negara lain. Pendedahan kami kepada pelbagai mazhab telah membuka mata kami kepada betapa kaya dan betapa berintegrasinya ajaran Islam. Juga fahaman kami mengenai pelbagai isu telah banyak mendapat manfaat dari analisis yang mendalam mengenai pendapat yang berbeza dari golongan ulama masa lampau dan masa kini.
Penutup
Saya ingin merakamkan rasa terhutang budi Suruhanjaya kepada golongan ulama, ilmuan dan pengamal pasaran yang telah banyak menyumbang kepada proses pembelajaran kami. Kami harap proses pembelajaran ini boleh diteruskan secara lebih meluas di kalangan semua yang hadir pada hari ini.
Persidangan hari ini tidak mungkin terlaksana tanpa kehadiran panel pembentang kertas kerja dan penceramah yang unggul. Saya amat berterima kasih kepada Dr. Yousof Abdulla Qaradawi yang telah bersetuju datang ke Kuala Lumpur untuk memberi ucapan utama dalam persidangan ini.
Sememangnya persidangan sebesar ini tidak akan mencapai kejayaan tanpa sokongan, kerjasama dan komitmen pelbagai individu dan pertubuhan. Saya ingin mengucapkan terima kasih khasnya kepada Commerce-MGI yang telah membantu menganjurkan persidangan ini dari peringkat awal lagi, dan juga kepada pengurusan dan kakitangan Institut Kefahaman Islam (IKIM). Saya juga tidak harus melupakan ucapan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa yang telah membantu dalam kerja-kerja penterjemahan.
Kepada Urusetia persidangan yang telah juga bekerja keras untuk menjayakan persidangan ini, saya juga ucapkan ribuan terima kasih.
Kepada Y.A.B. Dato' Seri Anwar yang telah memberi dorongan, perangsang dan sokongan kepada kami demi menganjurkan persidangan, Suruhanjaya ingin merakamkan rasa terhutang budi kami kepada Y.A.B. Dato' Seri. Y.A.B. Dato' telah bersetuju bukan sahaja untuk berkongsi pandangan mengenai tema persidangan ini dengan kita semua bahkan telah juga sudi hadir untuk sebahagian daripada sesi pagi ini.
Hadirin sekalian,
Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para jemputan, penceramah dan peserta persidangan ini.
Wabillahi taufiq Walhidayah Warahmatullahi Wabarakatuh.
Saya dengan ini mempersilakan Y.A.B. Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk berucap.